EKONOMI > BERITA

JUALAN RUNCIT 2026 MALAYSIA DIJANGKA KEKAL BERDAYA TAHAN PADA ENAM PERATUS -- MBSB IB

10/02/2026 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- MBSB Investment Bank menjangkakan jualan runcit Malaysia untuk 2026 kekal berdaya tahan pada 6.0 peratus, berikutan pertumbuhan 6.1 peratus yang dicatatkan pada 2025.

Dalam satu nota penyelidikan, MBSB IB berkata penggunaan pada suku pertama dijangka mengukuh, disokong oleh perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya, pendapatan boleh guna yang lebih tinggi daripada pelarasan gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam Fasa 2, selain pemindahan tunai kerajaan.

“Ini termasuk program Sumbangan Asas Rahmah, yang memberi manfaat kepada lebih 22 juta rakyat dewasa Malaysia yang layak.

Ekonomi domestik Malaysia dijangka kekal sebagai tonggak pertumbuhan utama selepas didokong oleh pasaran buruh yang sihat, kenaikan gaji, inflasi yang rendah dan stabil, serta pemulihan pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Bagaimanapun, sentimen jangka pendek mungkin dilemahkan oleh penyatuan fiskal dan pelarasan subsidi yang disasarkan ke atas keperluan, termasuk pengurangan insentif baru-baru ini bagi pengeluar gula ketika kerajaan sedang memuktamadkan rangka kerja penetapan harga baharu untuk gula putih ditapis,” katanya.

MBSB IB memberitahu perdagangan pengedaran Malaysia berkembang 5.6 peratus pada 2025, lebih tinggi berbanding 5.5 peratus pada 2024 selepas diterajui oleh pertumbuhan perdagangan borong yang lebih mantap.

Perdagangan runcit kekal berdaya tahan pada 6.1 peratus, tidak berubah daripada tahun sebelumnya, manakala pertumbuhan dalam jualan kenderaan bermotor menyederhana kepada 3.1 berbanding 6.5 peratus yang disaksikan semasa 2024.

“Pertumbuhan perdagangan pengedaran Malaysia telah meningkat kepada 7.6 peratus dari tahun ke tahun pada Disember 2025 berbanding November 2025 (6.4 peratus) dengan pengembangan lebih kukuh merentasi semua segmen utama,” katanya.

Sementara itu, pertumbuhan volum melonjak kepada 6.4 peratus dari tahun ke tahun pada November 2025 daripada 5.2 peratus sebelumnya selepas dipacu oleh jumlah dagangan yang lebih tinggi dalam pemborongan (7.0 peratus), peruncitan (4.9 peratus) dan kenderaan bermotor (11.0 peratus).

Inflasi IHP utama naik kepada 1.6 peratus dari tahun ke tahun pada Disember 2025 daripada 1.4 peratus pada November, manakala IHP teras menokok kepada 2.3 peratus berbanding 2.2 peratus sebelumnya. Untuk tahun penuh 2025, inflasi utama dan teras masing-masing berada pada purata 1.4 peratus serta 2.0 peratus.

Jurang antara harga pengguna dan pengeluar semakin melebar apabila inflasi indeks harga pengeluar menguncup pada kadar yang lebih pantas iaitu sebanyak 2.7 peratus dari tahun ke tahun pada Disember berbanding penurunan 1.8 peratus pada November.

 

“Bagaimanapun, paras harga keseluruhan dijangka kekal sederhana dan terurus, disokong oleh harga komoditi global yang stabil. Sehubungan itu, inflasi sewajarnya terus menyokong penggunaan isi rumah dan permintaan dalam negeri,” katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan