KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Sebanyak RM5.4 bilion bayaran balik lebihan cukai bagi tahun taksiran 2023 telah dibuat melibatkan 38,629 kes setakat 10 Februari 2026, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata kerajaan yakin dapat menyelesaikannya lebih awal, iaitu pada Februari 2026 berbanding sasaran asal pada suku pertama 2026.
Katanya bayaran balik bagi lebihan cukai tahun 2024 pula disasarkan untuk diselesaikan sebelum akhir tahun ini.
“Pada masa sama, bayaran balik tanpa mengira usia kes akan terus dibuat kepada semua pembayar cukai selain syarikat, terutamanya pembayar cukai individu,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai jumlah bayaran balik lebihan cukai yang telah dibayar setakat ini, baki yang masih belum diselesaikan dan garis masa kerajaan untuk melunaskan sepenuhnya bayaran balik lebihan cukai tersebut.
Menurut beliau, semua kes lebihan cukai bagi tahun 2022 dan sebelumnya yang boleh dibayar telah selesai pada 2025.
“Penyelesaian bayaran balik lebihan cukai ini telah dibuat melibatkan 3.7 juta kes pada 2025 berbanding 2.7 juta kes pada 2024,” katanya.
Bagi memastikan bayaran balik dapat dibuat kepada pembayar cukai mengikut tempoh yang sepatutnya, katanya pelbagai pendekatan dilaksanakan antaranya pengagihan bayaran balik berasaskan keutamaan usia tunggakan.
Katanya ini termasuk penggunaan konsep “first in first out”, bayaran penuh bagi tunggakan lebihan cukai individu dan pemberian keutamaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana atau syarikat yang menghadapi masalah aliran tunai.
“Kerajaan komited untuk terus memastikan bayaran balik lebihan cukai dapat dilaksanakan sepenuhnya secara adil, telus dan saksama dengan mengambil kira kepentingan semua pembayar cukai,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial