EKONOMI > BERITA

UNTUNG BERSIH PARAMOUNT BAGI TAHUN KEWANGAN 2025 MELONJAK 16 PERATUS KEPADA RM118.82 JUTA

13/02/2026 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Paramount Corporation Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi iaitu sebanyak RM118.82 juta bagi tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 31 Dis, 2025, peningkatan sebanyak 16 peratus daripada RM102.45 juta pada tahun lepas.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, perolehan untuk tahun berkenaan merosot sebanyak sembilan peratus kepada RM946.87 juta daripada RM1.04 bilion sebelumnya.

Kemerosotan itu disebabkan oleh penurunan pendapatan dalam segmen hartanah, pelaburan dan segmen-segmen lain.

"Perolehan untuk segmen hartanahnya susut sebanyak tujuh peratus kepada RM897.7 juta daripada RM965.3 juta pada tahun kewangan 2024 dengan pembangunan The Atera di Selangor menjadi penyumbang terbesar diikuti pembangunan Utropolis Batu Kawan di Pulau Pinang dan pembangunan Bukit Banyan di Kedah.

"Segmen pelaburan dan lain-lain mencatatkan perolehan sebanyak RM33.9 juta pada tahun kewangan 2025, penurunan sebanyak 40 peratus daripada RM56.5 juta pada tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh ketiadaan pendapatan dividen daripada EWI Capital Bhd," menurut makluman berkenaan.

Secara suku tahunan, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM57.60 juta pada suku keempat 2025 daripada RM54.12 juta pada tahun lepas.

Perolehan bagi suku tahunan yang dinilai turun sebanyak 29 peratus kepada RM257.96 juta daripada RM361.09 juta sebelumnya.

Paramount menjangkakan prospek kewangan yang memuaskan bagi tahun kewangan 2026, disokong oleh saluran jualan hartanah yang kukuh dengan jualan yang belum dibilkan sebanyak RM1.5 bilion pada 31 Dis, 2025 serta pelaksanaan inisiatif pengoptimuman kos.

Kumpulan tersebut mengisytiharkan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak 4.5 sen sesaham bagi tahun kewangan 2025 yang akan dibayar pada 13 Mac, 2026 kepada pemegang saham yang namanya tersenarai dalam rekod pendeposit pada 4 Mac, 2026, menurut makluman tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan