EKONOMI > BERITA

KEUNTUNGAN BERSIH 99 SPEED MART BAGI TK2025 MELONJAK KEPADA RM614 JUTA

13/02/2026 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Kumpulan 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM614.20 juta bagi tahun kewangan 2025 (TK2025) berakhir pada 31 Dis, 2025, daripada RM490.27 juta diraih bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Perolehan hasil juga meningkat 14.5 peratus kepada RM11.43 bilion berbanding RM9.98 bilion bagi TK2024, disokong oleh sumbangan positif daripada pembukaan cawangan baharu.

“Bilangan cawangan meningkat 9.3 peratus tahun ke tahun selain (turut disumbangkan oleh) kira-kira RM49.7 juta hasil tambahan daripada platform e-dagang bagi jualan pukal.

“Peningkatan hasil ini mendorong peningkatan keuntungan kasar sebanyak 17.6 peratus kepada RM1.29 bilion manakala margin keuntungan kasar menokok 0.3 mata peratusan kepada 11.4 peratus,” menurut kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Pada masa sama, jumlah keseluruhan transaksi jualan meningkat 14.3 peratus kepada 532 juta dengan purata saiz bakul (pelanggan) sebanyak RM21.5 bagi TK2025.

Di samping itu, pendapatan lain melonjak 76.8 peratus kepada RM23.4 juta, disumbangkan terutamanya  oleh pendapatan faedah daripada penempatan deposit menggunakan hasil tawaran awam permulaan (IPO).

Bagi tempoh suku tahunan, keuntungan bersih kumpulan juga meningkat kepada RM157.16 juta dalam suku keempat 2025 daripada RM124.42 juta bagi tempoh sama, setahun lepas.

Perolehan hasil bagi suku di bawah tinjauan juga melonjak kepada RM3.08 bilion daripada RM2.58 bilion pada tempoh sebelumnya.

“Bagi kemajuan masa depan, kumpulan akan terus memperjuangkan aspek kemudahan dan kebolehmampuan berpandukan slogan “Near n Save” (Dekat Lagi Murah).

“Komitmen ini jelas dipaparkan menerusi pemilihan rangkaian produk yang teliti serta strategi penetapan harga bagi memastikan barangan keperluan kekal mudah untuk pembelian komuniti pada harga berpatutan,” katanya.

 Selain itu, 99 Speed Mart juga akan terus mengukuhkan platform jualan secara pukal dengan mengembangkan lagi rangkaian produk dan memberi pilihan lebih besar serta bernilai kepada para pelanggan.

Kumpulan itu turut berkongsi komitmen bagi pengembangan secara strategik dengan menyasarkan kira-kira 250 cawangan setiap tahun, sekali gus memaparkan keyakinan terhadap permintaan pasaran dan potensi pertumbuhan jangka panjang.

“(Sehubungan itu), kumpulan akan terus mengusahakan pelaksanaan dan pertumbuhan yang kukuh, tidak hanya bagi memenuhi tetapi melangkaui sasaran pembukaan 250 cawangan dan mencecah lebih 3,000 premis dalam tempoh pelaporan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan