EKONOMI > BERITA

HARI LITAR, BAKAT: KUPAS EKOSISTEM SUKAN PERMOTORAN MALAYSIA

18/02/2026 12:57 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

(Nota: Ini merupakan bahagian kedua daripada tiga siri artikel yang meneliti ekosistem sukan permotoran Malaysia. Bahagian ini memfokuskan kepada cabaran struktur termasuk akses penggunaan litar yang terhad, peningkatan kos dan jurang dalam pembangunan bakat.)

 

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Di atas kertas, Malaysia mempunyai salah satu kemudahan sukan permotoran paling canggih di Asia Tenggara.

Realitinya, penggiat industri berkata ekosistem di bawahnya masih rapuh, dikekang oleh akses terhad, peningkatan kos dan kekurangan laluan berstruktur antara penyertaan amatur dan perlumbaan profesional.

Tujuan perdebatan ini adalah mengenai akses kepada litar.

Bekas pemandu Formula Satu (F1),  Alex Yoong berkata ekosistem sukan permotoran empat roda Malaysia tidak boleh berkembang tanpa akses penggunaan litar yang lebih kerap dan boleh diramal, beliau memberi hujah kekerapan bukannya infrastruktur semata-mata, menentukan sama ada bakat, pasukan dan perniagaan sokongan mampu bertapak dengan kukuh.

“Bagi sukan permotoran tempatan, kita mendapat kira-kira dua hari sebulan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Itu tidak mencukupi untuk membina pasukan, pemandu, mekanik atau perniagaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengakui bahawa tekanan komersial dihadapi SIC, Yoong berkata intensiti penggunaan lebih penting daripada kualiti kemudahan.

“Saya tidak menerima sebarang aduan mengenai infrastruktur, tetapi anda tidak boleh mengembangkan industri dengan memberi akses penggunaan litar hanya dua hari sebulan. Sebaik-baiknya, lima atau enam hari,” katanya.

Pelumba profesional, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel turut menyuarakan kebimbangan dan berkata kekangan struktur disebabkan kebergantungan Malaysia kepada satu litar utama sahaja untuk sukan permotoran roda empat.

“Buat masa ini, kita hanya ada satu litar utama. Jika kita mahu membangunkan sukan permotoran secara serius, kemudahan perlu diperluas. Tidak harus tertumpu di satu tempat sahaja,” katanya.

Yoong dan Tengku Djan masing-masing berpendapat bahawa walaupun penyertaan hari litar telah meningkat, lapisan tengah ekosistem berkenaan masih belum berkembang, ia adalah peringkat memerlukan pemandu beralih kepada perlumbaan berstruktur, pasukan menstabilkan operasi dan kos mula menjadi lebih stabil serta terkawal.

Mereka berkata hari litar telah berkembang maju sebagai aktiviti rekreasi, bagaimanapun kemajuan melangkaui tahap itu masih tidak sekata.

Hari litar (Trackday) adalah sesi pemanduan atau tunggangan di litar tertutup dikendalikan secara tersusun dengan peraturan keselamatan yang ketat, ia terbuka kepada orang awam dan peminat sukan permotoran yang ingin merasai pengalaman di litar sebenar tanpa tekanan perlumbaan kompetitif.

Tujuan utama hari litar bukan untuk mengejar kemenangan atau masa terpantas, sebaliknya untuk memberi ruang kepada peserta memahami asas tunggangan dan pemanduan di litar.

Justeru, peserta hari litar belajar mengenai garisan perlumbaan (racing line), teknik membrek yang betul, kawalan kenderaan pada kelajuan tinggi serta bagaimana memahami situasi di trek dengan lebih selamat dan berdisiplin, semua ini dilakukan dalam persekitaran terkawal.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata ketidakseimbangan ini telah wujud selama bertahun-tahun dan jelas dilihat sebelum pandemik COVID-19.

“Pasukan tempatan biasanya tidak mampu menyewa trek. Mereka bergantung kepada penganjur hari litar. Itulah realitinya,” katanya.

Kebergantungan itu menyebabkan sukan permotoran tempatan terdedah kepada kekangan kalendar, perubahan harga dan persaingan daripada tempahan komersial (antaranya acara pelancaran kereta, penggambaran iklan dan acara korporat) yang membayar pada harga lebih tinggi, sekali gus mengehadkan peluang pasukan untuk merancang secara konsisten.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata penggunaan trek telah meningkat mendadak sejak pandemik dengan permintaan mendorong tahap penggunaan melebihi 80 peratus pada 2025.

Walaupun penggunaan lebih tinggi mencerminkan minat tinggi, pemain industri berkata ia juga telah meningkatkan persaingan untuk ruang kalendar yang terhad seterusnya mengekang akses untuk aktiviti berfokus pada pembangunan.

 

Laluan Konsisten untuk Membentuk Bakat

Presiden Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata Malaysia masih belum mewujudkan laluan konsisten yang membolehkan bakat berkembang maju daripada peringkat akar umbi ke perlumbaan antarabangsa.

“Semuanya adalah bagaimana kita bina laluan dari peringkat awal untuk menuju kejayaan, dari peringkat bawah (akar umbi) hingga ke kejuaraan dunia. Australia dan Jepun mempunyai sistem yang terbukti berjaya. Kita masih belum menemuinya lagi (membina sistem untuk bakat berkembang maju),” katanya.

Tanpa struktur sedemikian, pemain industri berkata pemandu, pasukan dan kakitangan teknikal sering beroperasi secara berasingan, bergantung pada pendedahan luar negara yang tidak menentu dan bukannya perlumbaan peringkat tempatan.

Yoong berkata permintaan hari litar yang kukuh dengan industri sukan permotoran tidak boleh dibuat perbandingan kerana perlumbaan empat roda di Malaysia masih bergantung pada SIC.

“Segmen dua roda (motosikal) mampu bertahan kerana ia tidak bergantung kepada satu lokasi sahaja, manakala segmen empat roda pula, semuanya tertumpu ke SIC,” katanya.

Di peringkat pasukan, kesan daripada akses yang terhad adalah lebih cepat.

Pengasas dan Pemilik Pasukan Perlumbaan Ketahanan Viper Niza Racing, Douglas Khoo berkata kekerapan menggunakan litar adalah sangat penting sebagai persediaan dan untuk kekal kompetitif.

“Ia sangat penting. Setiap kali ada hari litar dan ia tidak bertembung dengan jadual saya, kami pasti akan membawa kereta keluar untuk ujian,” katanya.

Khoo berkata latihan untuk sukan permotoran secara asasnya berbeza daripada kebanyakan sukan lain, memandangkan persiapan bergantung sepenuhnya kepada ketersediaan litar.

“Saya berpendapat sukan permotoran bukan seperti bola sepak, anda boleh letak kon dan berlatih di mana‑mana sahaja. Kita bergantung kepada ketersediaan litar untuk berlatih. Pasukan Malaysia bernasib baik kerana mempunyai akses kepada SIC berbanding pasaran negara jiran.

 

Akses Terhad dan Peningkatan Kos

Walaupun mengakui kekangan komersial SIC, Khoo berkata pengurangan tempoh sesi latihan baru-baru ini telah menjejaskan nilai bagi pasukan.

“Sebelum ini, masa diperuntukkan ialah 55 minit bagi setiap kategori. Kini ia dikurangkan kepada 45 minit dengan jumlah bayaran sama. Sepuluh minit itu sudah banyak. Anda boleh melakukan empat atau lima pusingan lagi,” katanya.

Sehubungan itu Yoong memberi amaran akses terhad dan peningkatan kos berisiko mendorong pasukan dan pemandu untuk berlatih di luar negara, sekali gus melemahkan penciptaan nilai domestik.

“Apabila masa di litar menjadi terhad, pasukan terpaksa berlatih di luar negara. Ini bermakna bengkel di sini kehilangan perniagaan, mekanik kehilangan pekerjaan dan ekosistem menjadi lemah,” katanya.

Sementara itu, Tengku Djan menyifatkan sukan permotoran bukan sekadar sukan semata-mata tetapi ia sebagai ekosistem komersial melibatkan kejuruteraan, logistik, kewangan dan pengurusan.

“Jika anda tidak mewujudkan platform di peringkat tempatan, anda tidak akan meraih jangka hayat yang panjang,” kata beliau.

Razlan berkata walaupun sukan permotoran sememangnya mahal, kos semata-mata bukanlah isu teras.

“Apa yang penting ialah struktur. Tanggungjawab untuk merangka dan menyelaras ekosistem kini terletak pada MAM,” katanya.

Menurut Razlan, pelan tindakan sukan permotoran negara yang sedang dimuktamadkan ketika ini dijangka dapat mengukur rantaian nilai, mengenal pasti jurang dan menyediakan asas lebih jelas untuk keputusan dasar.

Tanpa penyelarasan sedemikian, pemain industri memberi amaran Malaysia berisiko terus terperangkap dalam kitaran penyertaan meningkat tetapi kemajuan terbantut.

Dengan permintaan untuk hari litar semakin meningkat, akses pula semakin terhad dan laluan ke arah pembangunan masih tidak tersusun, ekosistem sukan permotoran empat roda Malaysia berdepan ujian kritikal sama ada kekerapan, struktur dan penyelarasan mampu seiring dengan minat yang kian meningkat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan