EKONOMI > BERITA

CAPE EMS KEMBALI CATAT UNTUNG, MANFAAT PUSAT DATA JOHOR UNTUK PERTUMBUHAN

20/02/2026 11:52 AM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Cape EMS Bhd akan mengutamakan keuntungan yang konsisten dan pelaksanaan berdisiplin dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang di bawah pelan hala tuju transformasi strategiknya, CEB 2.0.

Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) yang disenaraikan di Pasaran Utama itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM7.04 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember, 2025, berbanding kerugian bersih RM48.84 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Christina Tee Kim Chin berkata pemulihan itu mencerminkan naik taraf asas dalam model perniagaan kumpulan.

“Kami sedang beralih daripada pembuatan yang berpusatkan perkakasan kepada integrasi kejuruteraan, rangkaian pembuatan pintar dan infrastruktur tenaga bersih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai sebahagian daripada peralihan itu, syarikat berkenaan sedang menempatkan dirinya untuk memanfaatkan kemunculan pesat Johor sebagai hab pusat data.

Selain itu, Cape EMS sedang mengembangkan perniagaannya dengan melibatkan diri dalam Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) dan infrastruktur tenaga boleh baharu melalui anak syarikatnya, Cape Renewables Sdn Bhd, dengan kerjasama Shanghai Sermatec Energy Technology Co Ltd.

Inisiatif ini melibatkan penyetempatan perkhidmatan pemasangan dan sokongan kitaran hayat BESS di Johor sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Tee berkata kebangkitan Johor sebagai hab pusat data utama negara, di samping momentum Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), menghasilkan dorongan strategik yang ketara.

“Cape EMS sedang menempatkan dirinya sebagai rakan kongsi infrastruktur kritikal yang menyokong daya tahan tenaga, mobiliti pintar dan operasi infrastruktur digital dalam koridor pertumbuhan tinggi ini,” tambahnya.

Bagi memperkukuh keupayaan ekosistemnya, kumpulan itu juga memeterai kerjasama strategik dengan Engytech Engineering Services untuk membangunkan keupayaan operasi dan penyelenggaraan infrastruktur digital.

Rancangan juga sedang dilakukan untuk menubuhkan Akademi Pusat Data di Johor bagi menangani kekurangan bakat di kemudahan yang kritikal dalam usaha menyokong matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan