EKONOMI > BERITA

MOSTI, PCCCI BEKERJASAMA WUJUD EKOSISTEM INOVATIF BANTU PKS DAN SYARIKAT PEMULA

21/02/2026 05:12 PM

IPOH, 21 Feb (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan bekerjasama dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) bagi membangunkan ekosistem inovatif untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula meningkatkan daya saing masing-masing.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata ini memandangkan perniagaan perlu bertindak melakukan penyesuaian dalam realiti ketidaktentuan global serta kepesatan kemajuan teknologi.

“PCCCI menjadi satu kuasa penggerak yang amat penting dalam merealisasikan hasrat ini dan sejajar dengan misi PCCCI sejak sekian lama untuk menyatukan komuniti perniagaan negeri,” katanya pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran PCCCI di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak Sandrea Ng Shy Ching serta Presiden PCCCI Datuk Liew Chee Ming.

Chang juga menyifatkan ahli dewan perniagaan itu sebagai penghubung antara kerajaan dan kalangan perniagaan Cina, sekali gus memberi suara bagi pihak PKS.

“Tidak kiralah pakatan mana yang membentuk kerajaan, PCCCI mengekalkan kedudukannya serta menyampaikan pandangan industri kepada kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Liew berkata ekonomi global kini memasuki era kecerdasan buatan (AI) yang tidak lagi terhad kepada syarikat besar serta multinasional, malah membentuk semula aspek seperti model pengeluaran, pengurusan, pemasaran dan perkhidmatan.

Sehubungan itu, katanya, sebarang tindakan kerajaan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengguna pakai teknologi kecerdasan buatan (AI) serta menyediakan insentif dan pakej sokongan lebih kukuh bagi memacu transformasi berkaitan, akan turut membantu meningkatkan daya saing secara keseluruhannya.

Pada masa sama, ini juga dapat memastikan perusahaan Malaysia tidak ketinggalan dalam gelombang kemajuan teknologi seterusnya.

“PMKS adalah nadi ekonomi negara yang tidak hanya memacu permintaan domestik tetapi turut menyediakan peluang pekerjaan,” katanya.

Liew juga berkongsi harapan PCCCI agar kerajaan akan terus mengukuhkan sokongan membabitkan pembiayaan, teknologi, latihan dan pengembangan pasaran demi pertumbuhan PMKS secara kukuh dan mampan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan