EKONOMI > BERITA

KERAJAAN BERI JAMINAN PELAKSANAAN CUKAI OMV BAGI CKD TIDAK BEBANKAN RAKYAT - SIM

23/02/2026 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan bahawa pelaksanaan penuh struktur cukai nilai pasaran terbuka (OMV) bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) tidak akan membebankan golongan B40 dan M40, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin. 

Beliau berkata Peraturan-Peraturan Eksais (Penentuan Nilai Barang-Barang Dikilang Secara Tempatan Bagi Maksud Levi Duti Eksais) 2019 terpakai kepada semua barangan dikilangkan tempatan dan bukan terhad kepada kenderaan sahaja. 

“Impak kenaikan harga kenderaan berada pada tahap paling minimum. Kerajaan akan memastikan bahawa kenderaan mampu milik untuk golongan B40 dan M40 berdasarkan insentif cukai yang telah diluluskan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai indikator konkrit yang digunakan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk menentukan sama ada perubahan harga kenderaan akan mengganggu golongan B40 dan kumpulan bawahan M40.

Sim berkata sebelum ini, kerajaan telah memberikan pengecualian selama lima tahun sehingga 30 Jun 2026 bagi membolehkan nilai eksais kenderaan dikilangkan secara tempatan dikira berdasarkan kos pengilangan.

Katanya tempoh tersebut merupakan fasa peralihan bagi membolehkan syarikat pengeluar menyesuaikan model perniagaan dan struktur kos mengikut ketetapan semasa. 

Sim berkata kerajaan perlu memastikan struktur percukaian industri adalah adil dan saksama serta tidak menguntungkan mana-mana pihak tertentu.

Katanya kerajaan telah memperkenalkan Mekanisme Insentif Tersuai Baharu (NCM), iaitu syarikat yang menunjukkan komitmen pelaburan signifikan, meningkatkan kandungan tempatan serta menjana pembangunan vendor dan eksport layak menerima kadar pengecualian duti eksais lebih tinggi. 

Sim berkata pendekatan itu bertujuan meminimumkan impak pelaksanaan peraturan berkenaan khususnya bagi model kenderaan baharu manakala bagi model sedia ada, kerajaan memastikan lebih 90 peratus tidak mengalami kenaikan harga.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan