KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Jumlah keseluruhan industri (TIV), sektor automotif Malaysia meningkat 28.7 peratus tahun ke tahun kepada 64,298 unit pada Januari 2026, didorong peningkatan lebih tinggi dalam segmen kenderaan penumpang dan komersial, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu memaklumkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengaitkan prestasi kukuh berbanding tempoh sama tahun sebelumnya dengan pelbagai pelancaran model baharu pada penghujung 2025, selain kesan asas rendah susulan bulan bekerja lebih singkat, iaitu 19 hari, berikutan cuti Tahun Baharu Cina.
Bagaimanapun, secara bulan ke bulan, TIV Januari 2026 merosot 29.1 peratus berikutan asas tinggi pada Disember 2025 yang menyaksikan penghantaran akhir tahun dan tamatnya pengecualian cukai kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU).
CIMB Securities turut memaklumkan jumlah pengeluaran meningkat 5.9 peratus tahun ke tahun kepada 60,866 unit pada Januari 2026.
Sementara itu, MAA menjangkakan jualan Februari 2026 kekal sederhana berikutan bulan operasi yang lebih pendek, iaitu 17 hari bekerja, susulan cuti perayaan.
Dari segi pegangan pasaran, jenama nasional mencatat peningkatan 5.4 mata peratusan kepada 71.4 peratus pada Januari 2026, didorong lonjakan jualan di Proton Holdings Bhd yang meningkat lebih dua kali ganda kepada 19,750 unit susulan pelancaran Proton Saga 2026 (MC3).
Sementara itu, peneraju pasaran, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd merekodkan pertumbuhan volum 12.4 peratus tahun ke tahun pada Januari 2026, disokong permintaan kukuh bagi model Bezza, Myvi dan Traz baharu.
CIMB Securities mengekalkan unjuran TIV 2026 pada 800,000 unit (-2.5 peratus tahun ke tahun), sedikit melebihi unjuran MAA sebanyak 790,000 unit.
“Unjuran kami berasaskan hala tuju dasar yang lebih jelas susulan pelaksanaan program subsidi petrol Budi MADANI RON95 (BUDI95) serta pengesahan bahawa semakan nilai pasaran terbuka tidak akan mencetuskan kenaikan harga kenderaan dalam tempoh terdekat.
“Bagaimanapun, kami menjangkakan permintaan akan kembali normal selepas pembelian awal kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU), selain tekanan inflasi yang masih berlarutan dan peningkatan kos sara hidup,” menurut CIMB Securities.
Bank pelaburan itu menjangkakan kadar penembusan EV nasional meningkat pada 2026, disokong pelancaran model Proton e.MAS 5 serta kesinambungan insentif cukai bagi EV pemasangan tempatan (CKD).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial