EKONOMI > BERITA

KEUNTUNGAN BERSIH SUKU KEEMPAT 2025 MAYBANK DIJANGKA NAIK 11.9 PERATUS 

23/02/2026 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd menjangkakan keuntungan bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) bagi suku keempat tahun kewangan 2025 (S4 2025) meningkat 11.9 peratus tahun ke tahun, didorong oleh unjuran pendapatan bukan faedah (NOII) yang lebih positif.

Pada masa sama, pemulihan margin faedah bersih (NIM) bagi suku tahun juga dijangkakan lebih baik daripada unjuran awal, menurut CIMB Securities dalam nota penyelidikan hari ini.

Mengikut firma pembrokeran sekuriti itu, peningkatan ketara kecairan sistem domestik pada S4 2025 didorong oleh peningkatan aliran masuk pelaburan langsung asing, aliran masuk portfolio ke dalam bon/sukuk, serta pertumbuhan kukuh akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) korporat, juga menunjukkan peralihan daripada keadaan kecairan neutral kepada persekitaran yang lebih menyokong.

“Perubahan kecairan itu sepatutnya mengukuhkan lagi sokongan terhadap Maybank berikutan pendedahan lebih tinggi terhadap aliran serantau.

“Sejajar dengan keadaan itu, aktiviti pertukaran mata wang asing (FX) dan lindung nilai lebih kukuh (yang dibuktikan menerusi peningkatan jumlah penyelesaian pertukaran mata wang serta-merta dan swap FX) menunjukkan aliran pendapatan yang kukuh manakala peningkatan pembelian asing ke atas Bon Kerajaan Malaysia berpotensi memacu keuntungan pelaburan yang direalisasikan oleh Maybank,” katanya.

Maybank dijangka mengumumkan prestasi kewangan bagi S4 2025 pada Khamis ini.

Selain itu, CIMB Securities menyatakan elemen gabungan pengukuhan ringgit serta kecairan domestik lebih baik turut mengurangkan tekanan kos domestik.

Menurut firma pembrokeran itu, perkembangan ini memberi sokongan kepada NM Maybank yang dijangka berkembang sekitar empat hingga lima mata asas suku ke suku pada S4 2025 kepada 2.06 peratus manakala bagi tahun penuh NIM tahun penuh 2025 berkemungkinan sederhana kepada 2.03 peratus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan