EKONOMI > BERITA

CARUMAN I-TOPUP NAIK 26 PERATUS, BUKTI KEYAKINAN RAKYAT TERHADAP INSTITUSI KEWANGAN – AMIR HAMZAH

28/02/2026 07:08 PM

PUTRAJAYA, 28 Feb (Bernama) -- Keyakinan rakyat untuk mencarum melebihi kadar berkanun melalui i-Topup Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan kepercayaan yang tinggi terhadap kestabilan institusi kewangan negara, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

KWSP mengumumkan kadar caruman i-Topup tersebut meningkat 26 peratus bagi tahun berakhir 31 Disember 2025.

Sebelum ini, i-Topup yang dikenai sebagai ‘voluntary excess’, membolehkan pekerja atau majikan mencarum melebihi kadar berkanun 11 peratus (atau 12 peratus) bagi meningkatkan simpanan persaraan secara automatik, tertakluk kepada had maksimum RM100,000 setahun.

KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus bagi 2025 untuk akaun simpanan konvensional dan shariah, dengan jumlah pembayaran RM79.6 bilion.

Bagi tahun 2025, ia mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada 2024. 

Menurut Amir Hamzah lagi, pencapaian itu turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menstruktur semula ekonomi bagi menjamin kemampanan kemakmuran negara dan meningkatkan perlindungan sosial rakyat.

“Kerajaan MADANI akan terus memastikan kemakmuran negara bersifat inklusif, mampan, dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di laman X hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah caruman sukarela KWSP yang mencecah RM19.2 bilion pada 2025 membuktikan rakyat mempunyai lebihan pendapatan untuk dilaburkan sebagai simpanan persaraan.

Tambahnya, ia diperkukuhkan lagi dengan lonjakan sebanyak 50.8 peratus dalam caruman i-Saraan, iaitu sebanyak RM4.0 bilion yang menunjukkan golongan pekerja sektor gig dan tidak formal kini mampu membina perlindungan kewangan hasil daripada kerancakan aktiviti ekonomi domestik.

Mengulas mengenai pengumuman dividen KWSP hari ini, katanya, biarpun berdepan cabaran persekitaran ekonomi yang tidak menentu, limpahan kemakmuran daripada pertumbuhan ekonomi dapat dilihat dalam jumlah caruman yang semakin meningkat, kenaikan gaji yang stabil, pendaftaran ahli dan majikan aktif. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan