KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Harga minyak mentah Brent berpotensi melonjak sebanyak US$20 setong pada Isnin berikutan premium risiko yang diselaraskan semula melainkan terdapat petunjuk yang jelas mengenai ketegangan yang mereda pada hujung minggu susulan serangan Amerika Syarikat (AS)–Israel ke atas Iran, menurut firma risikan perniagaan dan penyelidikan tenaga, Rystad Energy.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Analisis Geopolitiknya, Jorge Leon berkata langkah itu bukan sahaja akan mencerminkan kebarangkalian gangguan susulan pergerakan kapal di Selat Hormuz yang terhenti malah ketidaktentuan yang tinggi mengenai aliran maritim, dinamik tindak balas dan ketegangan politik yang meningkat.
“Sekiranya laluan Selat Hormuz tidak boleh digunakan atau infrastruktur tenaga disahkan mengalami kerosakan, risiko kenaikan harga akan terus meningkat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Beliau berkata jika Selat Hormuz ditutup, senario yang dijangka adalah ia akan bersifat sementara, berkemungkinan selama satu hingga dua minggu.
Selat Hormuz, yang terletak di antara Teluk Parsi dan Teluk Oman, menyediakan satu-satunya laluan laut dari Teluk Parsi ke lautan terbuka dan merupakan antara laluan sempit paling penting dan strategik di dunia.
Leon berkata penutupan yang berpanjangan akan menyebabkan geopolitik yang serius dan berkemungkinan mendorong tindak balas segera daripada negara lain.
“Bagaimanapun, gangguan yang singkat akan mewujudkan kekangan logistik yang ketara.
“Kesesakan kapal tangki, penjadualan semula kargo dan kelewatan di pelabuhan mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk kembali normal, bermakna impak pasaran dijangka berterusan selepas pembukaan semula laluan transit secara rasmi,” katanya.
Menurut Rystad Energy, kira-kira 15 juta tong minyak mentah sehari melalui Selat Hormuz, merupakan hampir 30 peratus daripada perdagangan minyak laut global, menjadikannya laluan sempit minyak paling penting di dunia.
Leon berkata sebarang gangguan yang berterusan sama ada rasmi atau realiti akan menjejaskan sebahagian besar minyak mentah yang diniagakan secara global daripada pasaran.
“Sama ada selat itu ditutup secara paksa atau tidak dapat diakses kerana langkah mengelak risiko, impaknya terhadap aliran minyak sebahagian besarnya adalah sama.
“Negara-negara yang mempunyai rizab petroleum strategik dijangka mengambil tindakan dan mengeluarkan jumlah tertentu sekiranya gangguan di selat itu berisiko berpanjangan.
“Melainkan terdapat petunjuk mengenai ketegangan mereda, kami menjangka harga minyak akan meningkat dengan ketara pada awal minggu,” katanya.
Leon berkata pada masa ini, tiada petunjuk mengenai ketegangan akan mereda dan saluran diplomatik dilihat terhenti manakala profil risiko telah beralih daripada operasi ketenteraan yang terkawal kepada risiko gangguan sistemik.
“Petunjuk paling kritikal untuk dipantau termasuklah pembukaan semula saluran diplomatik, reaksi kerajaan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) susulan serangan secara langsung ke atas wilayah mereka, pengesahan mengenai kematian pemimpin kanan Iran yang dilaporkan dan pendirian rasmi Tehran, sebarang sasaran infrastruktur tenaga yang disahkan serta corak trafik maritim pada masa nyata melalui Selat Hormuz,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial