EKONOMI > BERITA

EKSPORT MALAYSIA KE NEGARA ANGGOTA CPTPP BERJUMLAH RM486.80 BILION PADA 2025

03/03/2026 05:41 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Jumlah eksport Malaysia ke negara-negara anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) meningkat sebanyak 4.7 peratus kepada RM486.80 billion pada 2025 berbanding RM464.8 billion pada 2024.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata peningkatan itu sebahagian besarnya dipacu oleh peningkatan eksport negara ke Mexico (kenaikan sebanyak 57 peratus), Chile (15.3 peratus), Singapura (8.1 peratus), Vietnam (2.6 peratus), United Kingdom (2.4 peratus), Kanada (2.1 peratus) dan Peru (1.6 peratus).

Menerusi CPTPP, pengeksport boleh menikmati akses ke pasaran bukan tradisi seperti Kanada, Mexico dan Peru serta akses keutamaan buat julung kalinya ke pasaran United Kingdom yang sebelum ini tertakluk kepada tarif biasa.

"Statistik menunjukkan pengeluaran Sijil Tempasal (CO) bagi blok CPTPP melonjak drastik kepada 21,993 CO pada 2025 dengan nilai eksport sebanyak RM7 bilion, berbanding 6,230 CO dengan eksport RM2.7 bilion pada 2023.

"Ini membuktikan bahawa syarikat tempatan kian arif memanfaatkan tarif CPTPP dan agresif dalam meneroka pasaran alternatif bagi barangan, perkhidmatan, mahupun rantaian bekalan mentah," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian beliau di Dewan Negara hari ini.

Sijil Tempasal adalah dokumen rasmi dalam perdagangan antarabangsa yang digunakan untuk mengesahkan bahawa sesuatu produk yang dieksport itu dihasilkan, dikilang atau diproses sepenuhnya di sesebuah negara.

Johari berkata Malaysia sentiasa berpendirian teguh bahawa sebarang tindakan unilateral yang mencabar prinsip perdagangan bebas wajar ditangani secara bersama melalui Pertubuhan Perdagangan Dunia. 

Namun, bagi mendepani ketidaktentuan global secara pragmatik, Malaysia juga cetuskan kerjasama bersepadu sesama rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), tanpa perlu bersifat konfrontasi terhadap mana-mana kuasa ekonomi dunia, katanya.

"Cadangan Malaysia ini telah disambut baik oleh Suruhanjaya CPTPP yang memperakukan inisiatif kita untuk menerajui kerjasama bersepadu antara 'Trade Promotion Organisations' (TPO) daripada ke-12 negara anggota. 

"Usaha ini bertujuan memaksimumkan potensi ekonomi intra-blok serta membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana menguasai manfaat CPTPP, melalui penyelarasan maklumat pasaran dan misi perdagangan yang lebih berkesan," katanya.

Sehubungan itu, Johari berkata Malaysia melalui MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah menggerakkan kerjasama antara TPO bagi merancakkan aliran dagangan intra-CPTPP. 

Usaha itu turut diterjemahkan melalui program Export Acceleration Mission kendalian MATRADE yang tertumpu khusus kepada pasaran bukan tradisi. 

"Keberkesanannya terbukti di Mexico, yang mencatatkan lonjakan eksport sebanyak 59.7 peratus pada tahun 2025, dengan nilai mencecah RM30.1 bilion," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan