EKONOMI > BERITA

MBSB KEKAL UNJURAN PURATA RINGGIT SEKITAR 4.00 BERBANDING DOLAR AS PADA 2026

03/03/2026 08:13 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) mengekalkan unjuran asasnya bahawa ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS, dengan purata pada 2026 adalah sekitar RM4.00 (2025: RM4.28).

Menurut bank pelaburan itu, pendorong utama kepada kecenderungan pengukuhan ringgit yang berterusan adalah jangkaan bahawa perbezaan kadar faedah antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia menjadi lebih kecil.

"Unjuran asas kami menjangkakan dua penurunan sebanyak -25 mata asas (bps) oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) tahun ini, berbanding Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia yang dikekalkan pada 2.75 peratus.

“Kami menjangka ringgit mengalami turun naik apabila pasaran menyesuaikan semula harga berpandukan setiap tindakan Fed,” katanya menerusi nota penyelidikan.

Menurut bank pelaburan itu, inflasi yang tinggi di AS dan risiko geopolitik di peringkat global masih menjadi faktor yang sukar diramalkan dalam unjuran yang dibuat.

Sekiranya risiko ini benar-benar berlaku, Fed mungkin menangguhkan kitaran pelonggaran monetari, yang akan menyebabkan cabaran besar dan boleh mengehadkan trend pengukuhan ringgit, katanya.

Sepanjang bulan lepas, kecenderungan peningkatan ringgit telah berterusan, disokong oleh beberapa siri keluaran data ekonomi yang kukuh.

Mata wang ini mengekalkan kekuatannya walaupun berdepan dengan kenaikan semula indeks dolar AS (DXY), dan berjaya menembusi paras RM3.90.

Prestasi ini disokong oleh keyakinan pasaran terhadap pemulihan domestik Malaysia.

“Bagaimanapun, sekiranya ringgit terus mengukuh daripada paras semasa dan pada tahap yang mampan, kami akan menyesuaikan semula unjuran kami dengan kecenderungan mengukuh.

“Secara keseluruhan, kami menjangka Indeks Ringgit Wajaran Dagangan (TWRI) MBSB meningkat kepada 102.0 menjelang akhir 2026 (akhir 2025: 98.4), mencerminkan keteguhan ringgit secara menyeluruh berbanding mata wang rakan dagang utama,” katanya.

Daya tahan ini disokong oleh dasar monetari Malaysia yang stabil dan pertumbuhan ekonomi kukuh, berbanding bank pusat lain yang beralih kepada langkah menurunkan kadar faedah untuk merangsang ekonomi.

Disokong oleh penilaian Bank Negara Malaysia terhadap pertumbuhan domestik yang berterusan, persekitaran makroekonomi yang menggalakkan ini kekal sebagai pemangkin utama bagi prestasi ringgit yang lebih baik berbanding mata wang serantau dan global, katanya.

 -- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan