KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- MR DIY Group (M) Bhd bercadang untuk mewujudkan dua program sukuk wakalah dengan had agregat gabungan dalam nilai nominal sebanyak RM5 bilion.
Peruncit pembaikan rumah itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata program itu terdiri daripada program nota jangka sederhana Islam (Sukuk Wakalah-IMTN) sehingga RM5 bilion dan program kertas komersial Islam (Sukuk Wakalah-ICP) dengan had kecil berjumlah RM1 bilion, kedua-duanya berdasarkan prinsip syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.
“Program IMTN ini akan membenarkan penerbitan Sukuk Wakalah-IMTN dari semasa ke semasa, manakala program ICP pula membenarkan pengeluaran Sukuk Wakalah-ICP dari semasa ke semasa, dengan syarat agregat nilai nominal tertunggak Sukuk Wakalah-IMTN serta Sukuk Wakalah-ICP tidak boleh melebihi RM5 bilion pada bila-bila masa,” katanya.
Tempoh program IMTN adalah berterusan.
MR DIY menjelaskan tempoh matang bagi Sukuk Wakalan-IMTN adalah sekurang-kurangnya satu tahun, manakala tempoh matang program ICP adalah tujuh tahun daripada tarikh terbitan pertama Sukuk Wakalah-ICP.
Sementara itu, tempoh matang untuk setiap Sukuk Wakalah-ICP adalah antara satu hingga 12 bulan.
Kumpulan tersebut menjelaskan kedua-dua program sukuk itu, masing-masing telah diberikan penarafan kredit jangka panjang awal AA1 dengan prospek stabil serta penarafan jangka pendek P1 oleh RAM Rating Services Bhd.
MR DIY berkata hasil yang diperoleh daripada terbitan sukuk akan digunakan untuk tujuan patuh Syariah, termasuk membiayai semula pembiayaan sedia ada atau akan datang, kewangan dan/atau membayar balik modal kerja, pemerolehan, pelaburan dan perbelanjaan modal, serta tujuan korporat am.
Ia juga akan digunakan bagi membayar dan/atau membayar balik semua yuran, kos dan perbelanjaan yang berkaitan dengan penubuhan program sukuk wakalah serta penerbitan sukuk wakalah.
CIMB Investment Bank Bhd telah dilantik sebagai penasihat utama dan pengurus utama tunggal untuk program sukuk wakalah berkenaan.
CIMB Investment Bank, Hong Leong Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd adalah pengurus utama bersama bagi terbitan sukuk, manakala CIMB Islamic Bank Bhd adalah penasihat syariah untuk program tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial