KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2026 dijangka kekal antara 4.0 hingga 4.5 peratus meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar, kata Timbalan Menteri Ekonomi Mohd Shahar Abdullah.
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi negara akan disokong oleh penggunaan domestik yang kukuh, pelaburan berterusan dalam projek infrastruktur dan perindustrian, perkembangan ekonomi digital serta pemulihan sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Ketahanan ekonomi menjadi amat penting ketika kita mengharungi cabaran global yang kompleks bagi memastikan kestabilan jangka panjang.
“Kita berada pada saat yang kritikal ketika ketegangan geopolitik global berterusan dan ketidaktentuan di Timur Tengah terus memberi kesan kepada pasaran tenaga. Justeru, perbincangan kita hari ini mengenai kestabilan dan daya tahan kewangan amat bertepatan dengan situasi semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan khas pada Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan ASEAN ke-2 hari ini yang bertemakan “Peranan Sektor Kewangan dalam Memacu Pertumbuhan Ekonomi Malaysia yang Mampan dan Inklusif.”
Dalam pada itu, di tengah-tengah konflik yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat dan Iran, kalangan ahli ekonomi memberi pandangan prospek pertumbuhan Malaysia, dengan sebahagian memberi amaran bahawa kenaikan harga minyak boleh menjejaskan ekonomi.
Sementara itu, bank pelaburan menekankan potensi manfaat daripada peningkatan hasil tenaga dan permintaan domestik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial