KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Syarikat telekomunikasi Malaysia dijangka dapat mengekalkan pembayaran dividen walaupun wujud kemungkinan tekanan terhadap keuntungan berikutan penswastaan Digital Nasional Bhd (DNB), menurut Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).
Menerusi nota penyelidikan hari ini, bank itu menjelaskan Maxis Bhd dijangka mengekalkan dividen empat sen sesaham setiap suku tahunan manakala CelcomDigi Bhd mungkin mengekalkan kadar pembayaran kira-kira 100 peratus susulan keuntungan tertahan yang terhad.
“Telekom Malaysia Bhd dan Time dotCom Bhd juga dijangka mengekalkan pembayaran yang tinggi bagi tahun kewangan 2026 melalui pengurusan modal yang lebih proaktif,” tambahnya.
Maybank IB menambah CelcomDigi dan Maxis telah melengkapkan pelaksanaan opsyen jual dengan Menteri Kewangan (Diperbadankan) pda 6 Mac, 2026, dengan masing-masing membayar RM327.9 juta bagi saham mereka, baki pinjaman, serta tambahan pendahuluan pemegang saham dalam DNB.
“Dengan selesainya pelaksanaan tersebut, DNB kini menjadi syarikat sekutu 33.3 peratus bagi CelcomDigi, Maxis dan YTL Power International Bhd.
“Pemegang saham syarikat telekomunikasi perlu mengambil kira kerugian akaun ekuiti DNB bermula suku pertama 2026, memandangkan DNB melaporkan kerugian bersih RM1.2 bilion pada tahun kewangan 2024,” jelasnya.
Maybank IB mengekalkan saranan “neutral” terhadap sektor tersebut.
Secara berasingan, CGS International Securities Pte Ltd berpandangan penswastaan itu adalah positif bagi jangka masa terdekat untuk CelcomDigi dan Maxis kerana berpotensi mengurangkan keperluan perbelanjaan modal.
“Kami mengandaikan rakan kongsi itu akan membahagikan kawasan dan pelaksanaan rangkaian di kawasan masing-masing, dengan memanfaatkan aset rangkaian sedia ada serta meminimumkan kos pelaksanaan 5G,” menurut firma itu.
Bagaimanapun, risiko jangka masa sederhana masih wujud.
Pengendali rangkaian 5G kedua, U Mobile, mungkin menurunkan harga untuk pengendali rangkaian maya mudah alih bagi menjana aliran tunai untuk pengembangan rangkaiannya, sekali gus meningkatkan persaingan dan mungkin memberi tekanan terhadap margin pada masa hadapan.
CGS International mengekalkan saranan “neutral” terhadap pengendali mudah alih di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial