EKONOMI > BERITA

ADVANCECON PEROLEH KONTRAK INFRASTRUKTUR DI JOHOR BERNILAI RM148.4 JUTA

09/03/2026 07:20 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Advancecon Holdings Bhd, Advancecon Infra Sdn Bhd (AISB) telah memperoleh kontrak bernilai RM148.42 juta daripada JLG Technopark Sdn Bhd untuk cadangan pembinaan dan penyiapan kerja-kerja tanah dan infrastruktur utama untuk Pakej 1B di Southern Ibrahim Technopolis (IBTEC) di Kulai, Johor.

IBTEC ialah hab perindustrian dan teknologi sedang meningkat di Johor, berada di kedudukan strategik untuk menyokong ekosistem pembuatan dan perindustrian bernilai tinggi Malaysia yang semakin berkembang, kata Advancecon dalam satu kenyataan.

Penyedia perkhidmatan kerja-kerja tanah dan kejuruteraan awam itu berkata kontrak itu akan disiapkan dalam tempoh 19 bulan mulai 1 April, 2026.

Projek itu menandakan perolehan kontrak kedua kumpulan itu dalam IBTEC, mencerminkan keyakinan berterusan pelanggan terhadap rekod prestasi dan piawaian AISB, katanya.

Pengarah Urusan Advancecon Holdings, Phum Boon Eng berkata perolehan projek IBTEC itu merupakan satu lagi pencapaian penting bagi kumpulan itu kerana ia terus membina semula momentum susulan kembali mencatat keuntungan untuk setahun pada tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025 dan mengukuhkan projek-projek yang sedang dalam perancangan.

“Kontrak ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan teknikal kami dalam kerja-kerja tanah dan infrastruktur berskala besar tetapi juga meningkatkan nilai perolehan kontrak kami hampir kepada tahap RM1 bilion, memberikan kami keterlihatan lebih besar untuk pertumbuhan pendapatan yang mampan pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, Johor terus menyediakan peluang menarik untuk pembangunan infrastruktur dan perindustrian terutamanya apabila pelaburan baharu dan industri dipacu teknologi semakin banyak memulakan operasi di rantau ini.

“Advancecon terus membida projek terpilih yang seiring dengan kekuatan terasnya dalam kerja-kerja tanah dan kejuruteraan awam terutamanya dalam pembangunan perbandaran berskala besar, perindustrian, dan infrastruktur di seluruh Malaysia,” katanya.

Dengan nilai perolehan kontrak yang semakin meningkat menghampiri tahap RM900 juta dan operasi yang diperkukuh, kumpulan itu berada pada kedudukan baik untuk memberikan pendapatan lebih berdaya tahan pada tahun kewangan 2026.

Advancecon kekal fokus pada pelaksanaan projek yang berdisiplin, pengurusan risiko berhemat dan penyampaian nilai konsisten kerana ia menyokong pembangunan ekosistem perindustrian dan infrastruktur generasi akan datang di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan