GEORGE TOWN, 10 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) telah mengaktifkan mekanisme pengawasan kecemasan bagi melindungi daya tahan rantaian bekalan berikutan ketegangan ketenteraan yang semakin meningkat di Timur Tengah.
Pengerusi PPC Datuk Yeoh Soon Hin berkata ketegangan yang meningkat baru-baru ini di rantau berkenaan boleh memberi kesan berantai terhadap rantaian perkapalan dan bekalan global sekali gus mendorong suruhanjaya itu untuk mempergiat pemantauan terhadap potensi kesannya terhadap pergerakan kargo melalui Pelabuhan Pulau Pinang.
“Timur Tengah kekal sebagai rantau yang kritikal bagi perkapalan global terutama Selat Hormuz yang menjadi laluan hampir satu perlima daripada bekalan minyak dunia. Sebarang peningkatan ketegangan boleh menjejaskan keselamatan kapal, kos penghantaran dan tempoh transit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata keputusan untuk mengaktifkan mekanisme pemantauan itu dilakukan susulan mesyuarat lembaga pengarah PPC baru-baru ini yang membincangkan potensi kesan konflik itu terhadap pelabuhan Malaysia dan sektor logistik.
Yeoh berkata antara kebimbangan utama yang dikenal pasti termasuk kemungkinan kapal lewat, kesesakan di pelabuhan, kenaikan kos logistik serta risiko operasi yang lebih tinggi kepada pengeksport.
Mengenai kesan jangka pendek, beliau berkata beberapa syarikat perkapalan antarabangsa utama termasuk CMA CGM, Maersk, Hapag-Lloyd dan Mediterranean Shipping Company (MSC) telah mula menyesuaikan laluan penghantaran mereka atas faktor keselamatan.
“Dalam jangka pendek, pengalihan laluan ini dijangka menyebabkan tempoh transit yang lebih lama serta kadar tambang penghantaran dan premium insurans yang lebih tinggi,” katanya.
Pada masa hadapan, beliau berkata gangguan yang berlarutan boleh menyebabkan kesesakan di hab pemunggahan kargo global dan pembaikpulihan peralatan serta kontena kosong yang lebih perlahan, yang berpotensi memberi tekanan kepada operasi pelabuhan di seluruh dunia.
Yeoh berkata rantaian bekalan global mungkin mengalami pelarasan apabila syarikat perkapalan dan perniagaan menilai semula strategi logistik bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan perkapalan berisiko tinggi, yang boleh menyebabkan kos logistik kekal tinggi untuk suatu tempoh.
Dalam jangka panjang, beliau berkata ketidaktentuan geopolitik boleh mempercepat perubahan struktur dalam corak perkapalan global sekali gus meningkatkan kepentingan strategik pelabuhan serantau.
“Pelabuhan Pulau Pinang secara proaktif perlu memperkukuh hubungan perkapalan maritim dalam ASEAN serta dengan negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) untuk mengurangkan kebergantungan yang berlebihan kepada laluan perkapalan yang sensitif di Timur Tengah,” katanya.
Walaupun kesan ekonomi terhadap Pelabuhan Pulau Pinang pada masa ini sebahagian besarnya bersifat tidak langsung, katanya suruhanjaya itu mengambil langkah awal untuk melindungi ekonomi Koridor Utara.
Menurutnya pada masa sama PPC terus mempertingkat sistem pengurusan pelabuhan digital serta bekerjasama erat dengan Penang Port Sdn Bhd untuk mengutamakan pelepasan kargo penting seperti makanan dan bekalan perubatan.
Ketegangan di Timur Tengah telah meningkat sejak 28 Februari susulan serangan oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti oleh serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara-negara Teluk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial