EKONOMI > BERITA

COMPUTILITY TECHNOLOGY, BGMC ENERGY, RENIKOLA JALIN KERJASAMA TENAGA HIJAU

11/03/2026 02:11 PM

ISKANDAR PUTERI, 11 Mac (Bernama) -- Tiga pihak iaitu Computility Technology (Malaysia) Sdn Bhd (CTDC), BGMC Energy Holdings Sdn Bhd (BGMC) dan reNIKOLA Holdings Sdn Bhd memeterai dokumen kertas terma strategik bagi membentuk pakatan tenaga hijau bagi pembekalan kira-kira 630,000 megawatt jam (MWh) tenaga boleh baharu (TBB) setahun.

Inisiatif berskala besar berjangka panjang itu akan menyokong operasi ZData Technologies dari China dengan pusat data kecerdasan buatan (AI) pertamanya di Gelang Patah, Iskandar Puteri dijangka memulakan operasi pada 2028.

Di bawah perjanjian itu, CTDC yang juga anak syarikat milik penuh ZData, akan menggunakan TBB yang dijana daripada aset ladang solar BGMC sebagai sumber tenaga pusat data AI berkenaan.

Pengarah CTDC Yeo Yong Hwang menyifatkan kerjasama itu sebagai pencapaian penting dalam usaha penyahkarbonan prasarana perindustrian yang pada masa sama turut menyokong agenda peralihan tenaga Malaysia.

“Majlis pada hari ini lebih daripada sekadar pemeteraian dokumen. Ini adalah perkongsian komitmen bagi hala tuju masa depan yang mana pertumbuhan infrastruktur digital bergerak seiringan dengan kelestarian, pengurusan sumber yang bertanggungjawab dan pemeliharaan alam sekitar bagi jangka panjang.

“Pertumbuhan pengkomputeran awan, kecerdasan buatan, platform data hiperskala serta perkhidmatan digital turut mentransformasi cara ekonomi beroperasi serta bagaimana masyarakat berhubung.

“Menerusi pakatan dengan BGMC dan reNIKOLA, kami berjaya mencapai satu program bekalan TBB jangka panjang yang dijana oleh ladang solar yang dicadangkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemeteraian Pakatan Tenaga Hijau Strategik di sini, hari ini.

Yeo turut mengumumkan pencapaian lestari penting apabila dapat mengurangkan kebergantungan syarikat terhadap bekalan air untuk sistem penyejukan berkaitan.

Beliau berkata pada fasa awal pembangunan projek itu, syarikat berkenaan telah memohon bekalan air sebanyak 9.5 juta sehari daripada Ranhill SAJ untuk menyokong sistem penyejukan berkenaan.

“Bagaimanapun, daripada bergantung kepada sumber air pihak berkuasa tempatan, kami membuat keputusan strategik memilih cara yang lebih lestari.

“Kami telah menarik balik permohonan itu dan mengatasi sepenuhnya kebergantungan terhadap bekalan air pihak berkuasa tempatan. Menerusi usaha pelaburan khusus dalam infrastruktur rawatan air maju serta kerjasama dengan Johor Special Water (JSW), kami akan mengitar semula air sisa terawat daripada sebuah loji rawatan kumbahan berhampiran.

“Ini bermakna sistem penyejukan akan beroperasi melalui penyelesaian air kitar semula secara gegelung tertutup, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap sumber air tempatan dengan ketara.

“Atau ringkasnya, kami sedang membangunkan sistem penyejukan mampan yang tidak bergantung kepada bekalan air baharu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan