EKONOMI > BERITA

HONG LEONG ISLAMIC BANK DIJENAMAKAN SEMULA SEBAGAI HLB ISLAMIC, SASAR PERTUMBUHAN KUKUH PEMBIAYAAN

11/03/2026 05:31 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Hong Leong Islamic Bank Bhd kini dikenali sebagai HLB Islamic susulan penjenamaan semula, dengan sasaran untuk mengekalkan pertumbuhan pembiayaan melebihi purata industri dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Menurut HLB Islamic, portfolio pembiayaannya meningkat 8.7 peratus tahun ke tahun kepada RM50.8 bilion setakat 31 Dis 2025.

“Ini kekal sebagai penyumbang penting kepada kumpulan itu, menyumbang 23.7 peratus daripada jumlah pinjaman dan pembiayaan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Hong Leong dalam kenyataan berkata langkah penjenamaan semula kepada HLB Islamic adalah sebahagian daripada langkah strategik untuk memperbaharui dan memperkukuh visi terasnya, dan memperkenalkan proposisi teras yang diperkukuh.

Menurutnya pendekatan ini melihat perkhidmatan kewangan bukan sekadar sebagai rangkaian produk dan transaksi yang terasing, sebaliknya sebagai pengurusan harta menyeluruh melalui pendekatan kitaran hayat.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Bank Bhd Kevin Lam berkata peralihan kepada HLB Islamic merupakan langkah yang dirancang secara strategik untuk memperluas perniagaan perbankan patuh Syariah sebagai pemacu utama pertumbuhan bank.

Selain itu, ini berperanan sebagai gerbang bersepadu bagi memenuhi semua keperluan kewangan dalam ekosistem.

“Dengan menyelaraskan identiti perbankan Islam kami dengan lebih rapat kepada jenama teras HLB, kami menjadikan penyelesaian patuh Syariah kami lebih intuitif, mudah diakses dan terintegrasi secara digital

“Melangkah ke hadapan, matlamat kami adalah untuk menjadikan HLB Islamic sebagai gerbang pilihan bagi pengurusan harta di Malaysia, membuktikan bahawa penyelesaian berteraskan nilai yang benar-benar berfokuskan pelanggan mampu menerajui pasaran dari segi inovasi dan juga penerimaan,” kata Lam.

Ketua Pegawai Eksekutif HLB Islamic Dafinah Ahmed Hilmi berkata bank itu menyasarkan untuk menjadi perantara antara teori dan praktik, memperkasakan pelanggan untuk mendekati pengurusan kewangan daripada perspektif pengurusan harta dan keberlimpahan, sambil tetap berpandukan prinsip Syariah.

“Terdapat keindahan tersendiri dalam perbankan Islam. Prinsipnya menawarkan pandangan holistik dan terhormat terhadap harta, menghubungkan setiap keputusan kewangan dengan tanggungjawab seimbang terhadap masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan