EKONOMI > BERITA

RWG SEMARAK AIDILFITRI DENGAN KEMPEN JOM RAYA KAW KAW 2026

19/03/2026 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Resorts World Genting (RWG) menyemarakkan sambutanAidilfitri tahun ini menerusi kempen “Jom Raya Kaw Kaw 2026” yang berlangsung dari 13 Mac hingga 12 April ini.

RWG memaklumkan kempen itu mengetengahkan kehadiran karakter popular Care Bears sebagai tarikan utama di Kimhua Atrium, yang menggabungkan nostalgia budaya pop dan sentuhan perayaan dengan hiasan ceria serta dekorasi menarik bagi pengunjung merasai kemeriahan Syawal.

“Peminat berpeluang menyertai sesi Meet and Greet Care Bears pada hujung minggu dari 14 hingga 28 Mac 2026, serta berpeluang bertemu Cheer Bear dan Grumpy Bear secara bersemuka, merakam gambar dan mencipta kenangan sempena perayaan.

“Pengunjung juga boleh mengunjungi kedai pop-up barangan bertema Care Bears sepanjang tempoh acara untuk mendapatkan pelbagai barangan dan koleksi eksklusif yang sesuai dijadikan hadiah atau kenangan istimewa,” katanya.

Selain itu, RWG memperkenalkan pelbagai aktiviti interaktif melalui pengalaman ‘Spend and Participate’, termasuk Bengkel Lukisan Coaster Raya pada hujung minggu dari 14 hingga 22 Mac di Kimhua Atrium, atau merakam kenangan perayaan di Care Bears Digital Photobooth. 

RWG turut menganjurkan kempen “Kurma Sejuta Rasa” dari 7 hingga 20 Mac, dengan pengunjung yang mengikuti platform media rasmi SkyAvenue berpeluang menebus pek kurma percuma di Kaunter Informasi Zouk Atrium (Aras 1), tertakluk kepada stok harian yang ada.

Menerusi program “Syawal Redemption” (Belanja dan Tebus) dari 14 Mac hingga 12 April, katanya pengunjung yang mencapai jumlah perbelanjaan tertentu boleh menebus pelbagai barangan eksklusif seperti sampul Raya Care Bears, baucar beli-belah serta barangan edisi terhad di Kaunter Informasi.

“Sebagai sebahagian daripada kempen Jom Raya Kaw Kaw, RWG menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada 28 Mac ini di Kimhua Atrium, dengan menjemput kanak-kanak kurang berkemampuan untuk turut merasai kemeriahan hari raya di resort berkenaan,” katanya.

Di Pavilion Hall pula, pengunjung disambut dengan hiasan karusel bermotif bulan sabit dan bintang  berputar perlahan, selain gerbang bercahaya serta struktur pelita bersaiz besar yang menjadi tarikan bergambar.

“Pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai barangan raya di gerai jualan bermusim sekitar Pavilion Hall. Bagi mereka yang gemar aktiviti kreatif, aktiviti seni pasir disediakan bagi membolehkan pengunjung menghasilkan reka bentuk berwarna-warni sendiri dalam suasana santai dan menyeronokkan,” katanya.

Sepanjang musim perayaan, RWG berkata SkyAvenue menampilkan pelbagai persembahan hiburan harian seperti Raya Mana Dance Show, Raya Robot Show, Wayang Kulit, Cak Lempung dan Dikir Barat, selain persembahan tarian tradisional dari 20 hingga 29 Mac di Kimhua Atrium dan Pavilion Hall.

Dari segi gastronomi, pengunjung boleh menikmati pelbagai pilihan sajian istimewa di sekitar resort, termasuk di Jom Makan SkyAvenue (Aras G) yang menawarkan Set Setalam Aidilfitri dengan harga RM45 hingga 23 Mac yang menampilkan hidangan seperti ayam percik, nasi minyak serta pencuci mulut tradisional.

Sementara itu, Jom Makan Street Food (Aras 4) menawarkan Aneka Kerabu dengan pelbagai pilihan ulaman dan hidangan tradisional, selain minuman unik seperti bandung cincau bersama ais krim vanila.

Bagi pengalaman lebih unik, pengunjung juga boleh mencipta potret keluarga Raya di AI Photobooth dari 12 hingga 22 Mac, secara percuma dengan perbelanjaan minimum RM50 dalam satu resit di Malaysian Food Street atau Jom Makan Street Food, atau bayaran RM10 bagi pengunjung tanpa pembelian minimum.

Pilihan kulinari turut diperluaskan dengan sajian unik seperti Ayam Masak Merah bersama nasi tomato di Lobby Café, manakala Trattoria Il Lago memperkenalkan Spaghetti Seafood Assam Pedas yang menggabungkan cita rasa tempatan dan antarabangsa.

Di Resorts World Awana, kemeriahan diteruskan melalui “Riang Raya Kaw Kaw” dari 9 Mac hingga 5 April, yang menampilkan pelbagai aktiviti budaya seperti permainan tradisional Melayu, kaligrafi Jawi, batik dan aktiviti kreatif lain yang memberi peluang kepada pengunjung mengenali tradisi Hari Raya dengan lebih dekat.

Bagi melengkapkan pengalaman percutian, RWG turut menawarkan pakej “Cuti-Cuti Raya” dengan pelbagai pilihan penginapan dan aktiviti santai, termasuk pengalaman berasaskan alam semula jadi serta program mesra keluarga seperti Junior Little Baker, Nature Little Planter dan Wellness Painting.

Untuk maklumat lanjut, layari http://rwgenting.com/ atau ikuti platform media rasmi RWG.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan