EKONOMI > BERITA

MPOB LANCAR PORTAL HARGA MINYAK MASAK TERPAKAI, PERKASA EKONOMI KITARAN

20/03/2026 01:24 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggalakkan penggiat industri dan orang ramai untuk mengambil bahagian secara aktif dalam perdagangan minyak masak terpakai (UCO) sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyokong ekonomi kitaran negara.

MPOB dalam satu kenyataan berkata bagi memastikan ketelusan urus niaga dan memudahkan pembelian dan penjualan UCO, MPOB telah menyediakan portal rujukan harga minyak masak terpakai untuk pasaran domestik, boleh diakses secara percuma oleh semua pihak berkepentingan.

Pelancaran maklumat data harga purata UCO adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan menerusi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) untuk meningkatkan ketelusan pasaran, memperkukuh mekanisme penemuan harga dan mengurangkan ketidakpastian dalam rantaian nilai industri minyak sawit di Malaysia.

Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata paparan harga rujukan UCO menyediakan penanda aras harga lebih jelas dan boleh dipercayai, sekali gus menyokong pembangunan rantaian bekalan UCO lebih telus dan inklusif.

“Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh integriti pasaran UCO domestik tetapi juga seiring dengan aspirasi kerajaan dalam memacu ekonomi kitaran dengan manfaat minyak masak terpakai sebagai bahan mentah bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata bekalan UCO semakin mendapat perhatian global sebagai sumber bahan mentah penting dalam pengeluaran produk tenaga mampan seperti biodiesel dan bahan api penerbangan lestari (SAF) serta pelbagai produk oleokimia.

“Secara global, permintaan untuk SAF dijangka meningkat dengan ketara, didorong oleh komitmen industri penerbangan antarabangsa untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya.

Menurut unjuran industri, permintaan SAF boleh meningkat lebih daripada tiga hingga lima kali ganda menjelang 2030, seterusnya meningkatkan keperluan bahan mentah seperti UCO sebagai sumber rendah karbon lestari.

MPOB berkata Malaysia mempunyai potensi besar dalam bekalan UCO disebabkan oleh penggunaan minyak masak sawit yang tinggi dalam sektor isi rumah dan perkhidmatan makanan seperti perniagaan katering dan penjual makanan bergoreng.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan