Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal stabil dalam jangka pendek iaitu sekitar RM4,000 setiap tan, disokong permintaan kukuh di tengah-tengah rancangan Indonesia untuk melaksanakan mandat biodiesel B50, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata unjuran itu turut disokong oleh harga komoditi global yang lebih kukuh terutamanya minyak mentah dan minyak kacang soya yang terus menyokong harga minyak sawit.
Katanya, pada masa ini, stok minyak sawit yang lebih tinggi melebihi tiga juta tan tidak benar-benar memberi kesan kepada harga MSM.
"Ini disebabkan oleh permintaan yang kukuh dan juga ketidaktentuan yang melibatkan Indonesia kerana negara itu merancang untuk meningkatkan mandat biodiesel kepada B50 dan kini mereka sedang melaksanakan B40.
"Pada masa yang sama, kerajaan Indonesia mula menguruskan ladang yang sebelum ini dimiliki oleh syarikat-syarikat yang dilaporkan beroperasi secara haram kerana pengambilalihan lebih daripada satu juta hektar tanah menimbulkan kebimbangan bahawa produktiviti mungkin terjejas," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara selepas muncul sebagai tetamu dalam program The Nation di Bernama TV mengenai "Prestasi dan Pandangan Masa Depan Industri Minyak Sawit Malaysia" yang dikendalikan oleh Jason Wee.
Sebagai ringkasan, 2025 menandakan satu pencapaian penting bagi industri minyak sawit Malaysia dengan pengeluaran MSM mencapai 20.28 juta tan yang merupakan rekod tertinggi dan melebihi 20 juta tan buat pertama kalinya.
Prestasi eksport minyak sawit Malaysia juga mengukuh pada 2025 dengan jumlah nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit meningkat kepada RM112.51 bilion daripada RM109.39 bilion pada 2024.
Selain itu, Ahmad Parveez berkata, amat penting bagi pemain industri untuk terus meningkatkan produktiviti sambil mengekalkan pasaran minyak sawit yang lebih mampan dan boleh dipercayai.
"Sudah tiba masanya bagi pemain industri untuk melabur dalam inovasi dan mekanisasi. Memandangkan industri ini terus bergantung banyak pada tenaga kerja asing, kami berharap lebih banyak syarikat akan menyalurkan keuntungan mereka ke dalam mekanisasi dan automasi bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja terutamanya pekerja asing.
"Penting juga untuk melabur dalam penanaman semula, menggunakan bahan tanaman berkualiti tinggi bagi meningkatkan hasil dan memastikan kelestarian jangka panjang," katanya.
Mengenai Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR), beliau berkata MPOB sedang berusaha memastikan peralihan yang lancar dan pemain industri termasuk pekebun kecil, benar-benar bersedia untuk mematuhi keperluan baharu berkenaan.
"Kami benar-benar berharap (EU) akan meneliti semula permintaan negara-negara supaya mematuhi syarat EUDR dan sama ada, jika negara-negara tersebut tidak dapat mematuhi, mereka akan benar-benar menghalang produk ini daripada memasuki ke negara masing-masing.
"Kami (MPOB) berusaha sedaya upaya untuk mematuhi peraturan, tetapi kami benar-benar berharap mereka akan lebih berpandangan jauh untuk mengurangkan syarat supaya (peraturan) ini menjadi lebih mudah," kata Ahmad Parveez.
Pada 22 Dis, 2025, Parlimen Eropah mengundi untuk menangguhkan pelaksanaan EUDR selama setahun dengan pelaksanaannya kini ditetapkan pada 30 Dis, 2026 bagi pengendali besar dan sederhana serta 30 Jun 2027 bagi perusahaan kecil dan sederhana.
Ia juga memutuskan untuk menjalankan "penilaian semula" terhadap undang-undang berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial