EKONOMI > BERITA

TINGKATKAN KESEDARAN MENGENAI "PENGKOMPOSAN BOKASHI", MISI KOMPOSTRI KURANGKAN PEMBAZIRAN MAKANAN

24/03/2026 01:29 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Beribu-ribu tan sisa makanan berakhir di tapak pelupusan sampah di Malaysia setiap hari, kebanyakannya masih boleh dimakan, masalah ini menjadi lebih ketara semasa musim perayaan seperti pada bulan Ramadan apabila sejumlah besar makanan disediakan tetapi tidak selalu dimakan (lebihan makanan/makanan tidak terjual).

Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), sisa makanan meningkat sebanyak 21 peratus kepada kira-kira 90,000 tan, atau kira-kira 3,000 tan sehari dicatatkan semasa Ramadan pada tahun 2024 manakala pada Ramadan 2025, pelupusan sisa makanan harian melonjak sebanyak 11.6 peratus kepada 4,561.61 tan.

Walaupun isu ia mungkin kelihatan membebankan, seorang usahawan Malaysia percaya perubahan bermakna boleh bermula di rumah, biarpun dari sesuatu yang kecil seperti tong sampah di dapur.

 

Bimbang mengenai Sisa Makanan di Dapur Cetus Tubuh Perusahaan Sosial

Bagi pengasas MAKA, Ellyna Merican Zulzurin Merican, 35, apa yang bermula sebagai percubaan mudah untuk menangani sisa makanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 telah berkembang menjadi perusahaan sosial yang menggalakkan isi rumah memikirkan semula cara mereka mengendalikan sisa makanan.

Ellyna berkata idea itu tercetus ketika PKP apabila ramai keluarga lebih kerap memasak di rumah dan menghasilkan lebih banyak sisa buangan dapur.

“Saya sebenarnya tidak merancang untuk memulakan Kompostri tetapi semasa perintah berkurung, kita lebih banyak memasak di rumah dan menghasilkan banyak sisa makanan, dan saya rasa bersalah membuangnya.

“Saya mendapati bahawa sisa makanan di tapak pelupusan sampah menghasilkan metana, merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada perubahan iklim dan ketika itulah saya mula menyedari perkaitannya (metana adalah pencemar iklim),” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Ellyna, berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Cardiff Metropolitan University, Wales, United Kingdom, sebelum ini pernah bekerja dalam bidang sumber manusia dan pemasaran di beberapa syarikat termasuk perniagaan milik keluarganya, Oh Apong Cafe dan syarikat pengurusan acara, Marcus Evans Sdn Bhd.

Pengalaman ini kini membentuk cara beliau membangunkan dan mempromosikan Kompostri, Ellyna menggunakan latar belakang pemasarannya untuk mencipta video pendidikan meningkatkan kesedaran mengenai sisa makanan dan pengkomposan untuk media sosial.

 

Pengkomposan Bokashi

Tunjang penyelesaian Kompostri ialah pengkomposan Bokashi, kaedah kitar semula sisa makanan inovatif yang berasal dari Jepun, istilah “bokashi” membawa maksud bahan organik diperam/ditapai.

Tidak seperti sistem pengkomposan konvensional yang bergantung pada oksigen untuk menguraikan bahan organik, pengkomposan Bokashi menggunakan proses penapaian anaerobik, dijalankan dalam bekas tertutup dengan bantuan mikroorganisma yang bermanfaat.

Dalam sistem ini, sisa makanan diletakkan ke dalam tong Bokashi direka khas dan dilapisi dengan dedak bokashi, mengandungi mikroorganisma berkesan seperti bakteria asid laktik dan yis, mikrob ini memeram sisa dalam persekitaran bebas oksigen.

Selepas kira-kira dua minggu, bahan diperam, sering dipanggil pra-kompos, boleh ditanam di dalam tanah atau ditambah ke dalam timbunan kompos, seterusnya menguraikan dan memperkayakan tanah dengan nutrien.

Ellyna berkata salah satu kelebihan kaedah Bokashi ialah keupayaannya untuk memproses pelbagai jenis sisa makanan berbanding kaedah pengkomposan konvensional.

“Apa yang baik mengenai pengkomposan Bokashi ialah hampir semua jenis sisa makanan boleh dimasukkan ke dalam tong termasuk sisa sayur-sayuran, kulit buah-buahan dan lebihan nasi yang tidak dimakan,” katanya.

Bau daripada proses pengkomposan kekal sebagai salah satu kebimbangan terbesar yang berkaitan dengan kaedah ini walaupun ia sesuai untuk rumah di bandar dan kediaman tinggi.

Bagaimanapun, beliau berkata ia adalah salah tanggapan umum kerana bau dihasilkan adalah lebih seperti bau jeruk atau diperam dan bukannya bau busuk.

 

Mengatasi Cabaran Dan Impak yang Semakin Meluas

Beroperasi sebagai pengasas solo (bersendirian), beliau memberitahu pembiayaan peringkat awal dan sumber bekalan adalah antara cabaran terbesar dalam menubuhkan usaha niaga ini, mencari tong kompos juga melibatkan masa tunggu yang panjang kerana peralatan tidak dikeluarkan di Malaysia.

“Salah satu cabaran terbesar ialah pembiayaan kerana saya berusaha keras untuk membangunkan bahan perintis menggunakan wang simpanan saya sendiri. Tong sampah mengambil masa beberapa bulan untuk tiba kerana ia bukan dari Malaysia, jadi ketersediaan stok juga menjadi satu cabaran,” katanya.

Beliau berkata bahawa bagi menguruskan cabaran dan permintaan tersebut, Kompostri kini mengguna pakai model pra-tempahan (pesanan awal), membolehkan perniagaan itu mengekalkan sistem inventori yang ringkas dan cekap.

Pada masa ini, produk Kompostri dijual pada skala kecil memandangkan perniagaan tersebut masih dalam proses menambah baik operasi serta menguruskan bekalan, dengan Set Lengkap Kompostri utamanya yang berharga RM159 sebagai titik permulaan yang mampu milik bagi isi rumah yang ingin mula melakukan pengkomposan di rumah.

Melihat ke hadapan, Ellyna percaya bahawa usaha menangani masalah sisa makanan di Malaysia bukan sahaja memerlukan penyelesaian, malah kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan orang ramai.

“Apabila lebih ramai isi rumah menggunakan pengkomposan Bokashi, kita boleh mengalihkan sejumlah besar sisa makanan dari tapak pelupusan sampah,” katanya.

Beliau berharap dapat meluaskan jangkauan Kompostri dengan mengembangkan komunitinya, mendidik lebih banyak isi rumah serta bekerjasama dengan sekolah dan juga pengusaha industri makanan dan minuman dalam menguruskan sisa makanan.

Pada masa sama, beliau sedang berusaha membangunkan keupayaan pengesanan impak alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan merancang untuk meningkatkan pengeluaran tong sampah bersama sistem pemantauan digital bagi mempertingkatkan lagi operasi Kompostri.

Ellyna ketika ini adalah peserta dalam program keusahawanan sosial SEEd.Lab.

Pengalaman itu telah membantu mengukuhkan potensi Kompostri untuk mengembangkan impaknya melalui bimbingan, rangka kerja pengesahan dan komuniti penyokong pengasas yang berorientasikan tujuan, membolehkannya memperhalusi model perniagaan dan menguji andaian dengan penerima manfaat sebenar, katanya.

Bagi Ellyna, perjalanan yang bermula dengan beberapa sisa buangan dapur semasa PKP, kini membawa visi yang lebih besar dan berharap tindakan kecil yang diambil di rumah akhirnya boleh berkembang menjadi gerakan lebih luas dalam cara rakyat Malaysia menguruskan sisa makanan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan