EKONOMI > BERITA

PELARASAN KUOTA RON95 LANGKAH SEMENTARA KENDALI TEKANAN SUBSIDI AKIBAT LONJAKAN HARGA MINYAK

26/03/2026 11:04 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Pelarasan kuota bulanan petrol bersubsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada 200 liter daripada 300 liter dilihat sebagai langkah sementara yang perlu bagi mengurus tekanan subsidi susulan lonjakan harga minyak global akibat konflik berterusan di Asia Barat.

Langkah yang berkuat kuasa 1 April 2026 itu disifatkan sebagai pendekatan pragmatik kerajaan dalam mengekang peningkatan perbelanjaan subsidi tanpa menjejaskan sebahagian besar pengguna.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata langkah itu tepat pada masanya, meskipun bukan penyelesaian jangka panjang terhadap isu subsidi yang kian meningkat.

Beliau berkata kos subsidi bahan api yang berpotensi mencecah RM24 bilion tahun ini merupakan risiko fiskal yang semakin ketara dan memerlukan tindakan awal.

“Menangguhkan tindakan hanya akan meningkatkan kos pada masa hadapan. Pelaksanaan awal membolehkan pelarasan dibuat secara berperingkat dan terkawal, berbanding risiko langkah lebih drastik sekiranya ditangguhkan,” katanya kepada Bernama.

Dari sudut fiskal, beliau menjelaskan pengurangan kuota mampu menjana penjimatan yang lebih stabil dan boleh dijangka melalui pengurangan subsidi per liter bagi keseluruhan penggunaan, berbanding hanya menyasarkan pengguna yang melebihi had.

“Pengurangan kuota mengawal penggunaan di peringkat margin, namun pelarasan harga lebih berkesan dalam membentuk perubahan tingkah laku dan memastikan kemampanan fiskal,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan pelarasan kuota berpotensi mewujudkan jurang harga ketara apabila pengguna beralih daripada RM1.99 kepada RM3.87 sebaik melepasi had, sekali gus boleh menjejaskan corak penggunaan secara tidak seimbang.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pendekatan alternatif iaitu mengekalkan kuota 300 liter tetapi melaraskan harga bersubsidi kepada sekitar RM2.30 seliter, manakala penggunaan melebihi had kekal pada harga pasaran RM3.87.

“Pendekatan ini memberikan isyarat harga yang lebih konsisten serta menggalakkan penggunaan bahan api secara lebih berhemah,” katanya.

Bagi mengimbangi kesan terhadap rakyat, beliau mencadangkan pengukuhan bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), khususnya kepada isi rumah berpendapatan rendah, selain peralihan daripada subsidi berasaskan harga kepada bantuan berasaskan pendapatan.

“Bantuan bersasar lebih berkesan melindungi golongan rentan tanpa memesongkan harga pasaran, di samping menyokong usaha mengurangkan subsidi secara berperingkat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi CGS International Securities Malaysia, Nazmi Idrus, berkata pelarasan kuota itu merupakan pilihan yang lebih praktikal berbanding kenaikan harga RON95 secara menyeluruh.

Beliau berkata langkah itu memastikan majoriti pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah yang menggunakan bahan api dalam jumlah kecil, terus dilindungi daripada peningkatan kos.

“Sebanyak 90 peratus pengguna menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, justeru majoriti tidak terjejas. Selain itu, subsidi sektor pengangkutan melalui sistem kad armada dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal, memastikan kesinambungan sokongan kepada perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sedek berkata tekanan kos kepada pengguna ketika ini masih terkawal berikutan sokongan subsidi berterusan, sekali gus membantu menstabilkan perbelanjaan isi rumah.

“Namun, kestabilan ini lebih dipacu dasar berbanding faktor pasaran, yang menimbulkan persoalan terhadap kemampanan sekiranya ketidaktentuan global berlarutan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan