KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Indeks nilai unit eksport Malaysia pada Februari 2026 menurun sedikit sebanyak 0.01 peratus kepada 153.11 mata berbanding 153.12 mata pada Januari, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Indeks nilai unit import juga menurun sebanyak 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 122.6 mata berbanding 123.0 mata sebelumnya.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan kecil dalam indeks nilai unit eksport itu disumbangkan terutamanya oleh penyusutan indeks minyak dan lemak haiwan serta sayuran (-1.8 peratus), barangan keluaran kilang (-0.5 peratus) dan bahan api mineral (-0.2 peratus).
Beliau berkata indeks volum eksport menurun 10.8 peratus, didorong oleh penurunan dalam bahan api mineral (-18.0 peratus), jentera dan kelengkapan pengangkutan (-13.7 peratus) serta barangan keluaran kilang (-11.4 peratus).
Indeks volum pelarasan bermusim menurun 11.2 peratus bulan ke bulan kepada 158.9 mata daripada 179.0 mata
Berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, indeks nilai unit dan volum eksport masing-masing meningkat 1.1 peratus dan 9.5 peratus.
Sementara itu, indeks nilai unit import susut 0.3 peratus, disebabkan penurunan indeks bahan api mineral (-5.4 peratus), bahan kimia (-0.4 peratus) serta jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.1 peratus).
Indeks volum import turut merosot 8.2 peratus bulan ke bulan, terutamanya berikutan penurunan bahan api mineral (-21.3 peratus), barangan keluaran kilang (-15.8 peratus) dan bahan kimia (-12.9 peratus).
Indeks volum import terlaras musim pula menurun 9.0 peratus kepada 152.9 mata berbanding 168.0 mata sebelumnya.
Indeks nilai unit import menguncup 4.3 peratus tahun ke tahun, manakala indeks volum import meningkat 13.0 peratus.
Sementara itu, terma perdagangan Malaysia meningkat 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 124.9 mata pada Februari, didorong kenaikan indeks minyak galian (+5.5 peratus), bahan mentah tidak boleh dimakan (+1.2 peratus) serta pelbagai barangan keluaran kilang (+0.8 peratus).
Secara tahunan, terma perdagangan Malaysia meningkat 5.7 peratus berbanding 118.2 mata sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial