EKONOMI > BERITA

JUMLAH PERDAGANGAN MALAYSIA PADA FEBRUARI RM245.2 BILION, EKSPORT NAIK 10.8 PERATUS

27/03/2026 08:42 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM245.2 bilion pada Februari 2026 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM131.0 bilion dan RM114.2 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata eksport Malaysia pada Februari 2026 mencapai RM131.0 bilion, mencatatkan peningkatan tahun-ke-tahun sebanyak RM12.7 bilion atau 10.8 peratus.

"Peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di Pulau Pinang dengan peningkatan sebanyak RM21.2 bilion manakala Kuala Lumpur naik RM198.1 juta dan Perak bertambah RM108.1 juta," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, nilai eksport menurun di Selangor sebanyak RM3.4 bilion, Sarawak berkurang RM1.1 bilion, Melaka menyusut RM928.2 juta dan Sabah merosot sebanyak RM743.7 juta.

Mohd Uzir berkata negeri-negeri lain yang turut mencatatkan penurunan termasuk Kedah menyusut sebanyak RM682.1 juta, Pahang berkurang RM505.9 juta, Negeri Sembilan turun RM442.0 juta dan

Kelantan merosot RM225.3 juta. Johor pula turun RM197.0 juta, Labuan pula berkurang RM191.9 juta, Terengganu menyusut RM98.0 juta dan Perlis menguncup RM14.0 juta.

Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 47.1 peratus diikuti Johor (17.7 peratus), Selangor (13.8 peratus), Sarawak (5.9 peratus) dan Kuala Lumpur (3.6 peratus).

Mengulas lanjut mengenai prestasi import, Mohd Uzir berkata import pada Februari 2026 meningkat RM8.6 bilion atau 8.2 peratus berbanding bulan yang sama pada 2025.

Peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang sebanyak RM9.3 bilion, Kedah naik RM1.2 bilion dan Kuala Lumpur bertambah RM1.0 bilion.

Import Negeri Sembilan bertambah RM255.4 juta, Labuan berkembang RM140.4 juta, Perak melonjak RM35.9 juta, Terengganu menokok RM6.8 juta dan Perlis naik RM5.0 juta.

"Bagaimanapun, nilai import menurun di Melaka sebanyak RM1.1 bilion, Sarawak susut RM645.3 juta, Selangor merosot RM519.8 juta, Pahang berkurang RM472.2 juta), Sabah turun RM66.0 juta, Johor mengecil RM51.4 juta dan Kelantan menyusut RM25.5 juta.

Pulau Pinang mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 29.3 peratus diikuti Selangor (23.5 peratus, Johor (21.7 peratus), Kuala Lumpur (8.4 peratus) dan Kedah sebanyak 5.4 peratus.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan