KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Risiko siber kekal menjadi keutamaan bagi institusi kewangan berikutan ancamannya yang semakin canggih serta memberi kesan terhadap aspek operasi, prestasi kewangan serta reputasi menjelang 2026, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2025, bank pusat berkata, industri turut mengenal pasti risiko strategik dan organisasi sebagai risiko operasi utama.
Ini berikutan terdapat perubahan model perniagaan dalam memenuhi keperluan pelanggan, persaingan yang lebih tinggi untuk mendapatkan tenaga kerja penting serta inovasi teknologi yang semakin pesat.
"Di samping itu, pematuhan pengawalseliaan kekal sebagai tumpuan utama bagi menyokong daya tahan institusi kewangan.
"Risiko operasi penting lain yang dikenal pasti bagi 2026 termasuk gangguan teknologi maklumat (IT), potensi kegagalan pelaksanaan akibat kesilapan manusia serta risiko yang berkaitan dengan peningkatan kebergantungan terhadap penyedia perkhidmatan luar," katanya.
BNM berkata operasi institusi kewangan kekal berdaya tahan sepanjang separuh kedua 2025 apabila kerugian kewangan yang berkaitan meningkat namun kekal rendah iaitu hanya 0.11 peratus daripada jumlah modal sistem perbankan separuh pertama 2025 iaitu pada kadar 0.04 peratus dan separuh kedua 2024 pada kadar 0.03 peratus.
Kerugian ini berpunca terutamanya daripada beberapa kes terpencil melibatkan penipuan luaran dan gangguan sistem yang ditangani menerusi langkah-langkah pembetulan serta pemulihan yang dilaksanakan tepat pada masanya, katanya.
Pada masa yang sama, bank pusat menyatakan institusi kewangan terus memperkukuh sistem dan proses pengurusan risiko operasi mereka melalui pelaburan secara bersasar bagi menangani punca utama serta mempertingkatkan kawalan dalaman.
Jelas BNM, pengukuhan daya tahan siber kekal menjadi keutamaan seiring dengan pendigitalan dan penggunaan teknologi dalam sektor kewangan yang semakin pesat dengan institusi kewangan terus mengekalkan standard keselamatan siber yang tinggi serta kekal waspada terhadap risiko teknologi dan ancaman siber yang berubah-ubah.
"Walaupun insiden melibatkan penyedia perkhidmatan pihak ketiga (TPSP) meningkat sedikit berikutan insiden kebocoran data dan gangguan rantaian bekalan pada peringkat global, tiada insiden yang serius atau pencerobohan data secara langsung yang menjejaskan institusi kewangan tempatan dilaporkan.
"Risiko sistemik akibat kegagalan pihak ketiga kekal rendah berikutan kawalan pengurusan risiko yang lebih ketat oleh institusi kewangan terhadap perkhidmatan pihak ketiga serta penambahbaikan berterusan terhadap pelan tindak balas, pemulihan dan kontingensi bagi risiko berkaitan TPSP," jelasnya.
BNM berkata institusi kewangan turut memperkukuh tahap kewaspadaan terhadap taktik penipuan yang berubah-ubah, hasilnya, jumlah penipuan transaksi yang berjaya dibanteras pada 2025 meningkat dengan ketara.
Bagaimanapun, bank pusat berkata kes-kes penipuan yang dilaporkan terus meningkat, didorong terutamanya oleh perisian hasad yang semakin canggih yang mampu menjejaskan peranti pelanggan dan membolehkan pemindahan dana tanpa kebenaran.
Selain itu, BNM sedang menjalankan beberapa inisiatif utama bagi memastikan sistem pembayaran dan penyelesaian terus berdaya tahan apabila Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) dan sistem pembayaran runcit (RPS) menjadi inisiatif yang utama kekal berdaya tahan dan mengekalkan tahap ketersediaan sistem yang tinggi pada separuh kedua 2025 dengan beberapa insiden terpencil segera ditangani.
Bank pusat berkata BNM juga melaksanakan semakan penyeliaan bersasar terhadap penyedia perkhidmatan pembayaran terpilih untuk menilai kecukupan dan keteguhan kawalan insiden penipuan, keberkesanan pengurusan risiko IT dan siber serta kekukuhan amalan tatakelakuan.
"Seiring dengan peningkatan penggunaan transaksi e-pembayaran, pengurusan risiko kredit dan penyelesaian yang berkaitan dengan pembayaran runcit masa nyata menjadi semakin penting," katanya.
Bagi menangani risiko penyelesaian antara bank yang wujud dalam model penyelesaian bersih tertangguh, BNM memperkenalkan penyelesaian secara hampir masa nyata bagi transaksi Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata (RPP) melalui pelancaran RENTAS+ pada hujung September 2025.
"Dengan ini, transaksi RPP diselesaikan melalui penyelesaian kasar secara hampir masa nyata, lantas mengurangkan dengan ketara risiko kredit dan penyelesaian antara bank dan pada masa yang sama memperkukuh keyakinan terhadap sistem pembayaran," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial