EKONOMI > BERITA

LANGKAH TURUN OPR PASTIKAN SOKONGAN DASAR TERSEDIA DALAM SITUASI GLOBAL MENCABAR - BNM

31/03/2026 10:37 AM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Walaupun ekonomi domestik kukuh pada 2025, perkembangan global telah menimbulkan risiko penurunan besar terhadap prospek pertumbuhan dan mendorong Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) bertindak mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus pada Julai 2025.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2025 dikeluarkan hari ini juga menegaskan ini juga sejajar dengan peranan MPC yang sentiasa memberikan tumpuan pada pertimbangan prospek masa hadapan ketika membuat keputusan dasar monetari.

“Menerusi langkah bertindak awal, MPC berusaha memastikan sokongan dasar sudah tersedia sekiranya risiko ini menjadi kenyataan. Jika sebaliknya, kos langkah awalan adalah terhad memandangkan inflasi kekal terkawal,” menurutnya.

Bank pusat itu memaklumkan, tindakan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tarif import lebih tinggi pada awal 2025 menyebabkan aliran perdagangan global terjejas manakala ketidaktentuan berhubung dasar serta prospek pertumbuhan ekonomi meningkat.

Menurut BNM, sebagai sebuah ekonomi yang amat terbuka, Malaysia terdedah kepada perkembangan luaran dan MPC menilai sejauh mana perkembangan ini mempengaruhi prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi dalam negara.

Sepanjang tempoh berbaki 2025, ekonomi Malaysia terus disokong oleh perbelanjaan dan pelaburan yang stabil manakala inflasi juga kekal rendah, didorong oleh keadaan kos global yang terkawal dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan. 

“Dalam persekitaran ini, MPC mengekalkan OPR pada kadar sedia ada kerana pendirian semasa dinilai sebagai wajar dan menyokong ekonomi,” menurutnya.

BNM berkata inflasi dalam negara kekal terkawal sepanjang 2025 dengan inflasi keseluruhan sederhana kepada 1.4 peratus seiring dengan persekitaran kos global yang makin reda.

Inflasi teras kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjang dua peratus, disokong oleh permintaan dalam negara yang mantap tanpa tekanan harga berlebihan.

Mengulas ringgit, bank pusat itu memaklumkan mata wang berkenaan telah mengukuh pada separuh pertama 2025 didorong oleh minat pelabur global terhadap aset ekonomi sedang pesat membangun dalam keadaan ketidakpastian berkaitan perdagangan.

“Trend ini berterusan hingga separuh kedua 2025, disokong oleh dasar monetari global yang lebih longgar. Ini termasuk (tindakan bank pusat) Rizab Persekutuan AS yang mengurangkan kadar dasarnya sebanyak tiga kali sejak bulan September 2025,” katanya.

BNM berkata langkah awalan pengurangan OPR itu dijangka terus memberikan sokongan tambahan kepada ekonomi keseluruhan pada tahun 2026.

“Di samping keputusan dasar monetari, BNM telah mengurangkan nisbah Keperluan Rizab Berkanun daripada dua peratus kepada satu peratus pada bulan Mei. Langkah ini memberikan lebih fleksibiliti kepada bankbank untuk menguruskan mudah tunai apabila berhadapan dengan volatiliti pasaran kewangan.

“Sepanjang 2025, operasi monetari BNM tertumpu pada mengekalkan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem perbankan domestik bagi menyokong pengantaraan kewangan,” menurutnya.

Bagi kemajuan masa depan, BNM mengunjurkan persekitaran global dijangka kekal tidak menentu dengan pelbagai faktor yang mempengaruhi keadaan ekonomi dalam negeri. 

“Namun begitu, ekonomi Malaysia diunjurkan masih berada pada landasan kukuh dan disokong oleh permintaan dalam negara yang berdaya tahan. Inflasi dijangka kekal sederhana sekali gus menjadikan perubahan harga stabil dan mudah dijangka,” menurut BNM.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan