KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Nisbah jumlah modal sistem perbankan Malaysia kekal kukuh pada 18.1 peratus daripada jumlah aset berwajaran risiko berbanding 18.2 peratus pada Jun 2025, dengan lebihan penampan modal berjumlah RM139.3 bilion daripada RM138.9 bilion sebelumnya, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Menerusi Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Tahun Dua 2025 (ST2 2025), BNM berkata pengekalan modal termasuk program pelaburan semula dividen terus menyokong pengekalan penampan modal yang kukuh.
"Penampan ini memperkukuh keupayaan bank-bank untuk meneruskan pemberian pinjaman, khususnya dalam persekitaran semasa apabila perniagaan dan isi rumah terus menghadapi tekanan kos yang tinggi.
"Kedudukan modal yang kukuh juga membolehkan bank menghadapi kejutan yang tidak dijangka seperti yang dicatatkan dalam pelaksanaan ujian tekanan BNM baru-baru ini," katanya.
BNM dilaporkan berkata deposit sistem perbankan Malaysia juga meningkat sebanyak 4.5 peratus tahun ke tahun.
Ia meningkat daripada 3.8 peratus pada Jun tahun lepas didorong terutamanya oleh pertumbuhan deposit berterusan daripada perniagaan dan individu pemastautin yang membentuk teras asas pendanaan mencakupi 73.3 peratus daripada jumlah deposit.
Bank pusat itu berkata bahawa institusi kewangan bukan bank (IKBB) dan kerajaan kekal sebagai penyumbang terbesar seterusnya, masing-masing pada 9.8 peratus dan 6.4 peratus, berbanding 8.9 peratus dan 7.2 peratus pada Jun 2025.
"Deposit tetap termasuk Murabahah Komoditi terus menyokong kestabilan struktur pendanaan bank-bank yang mencakupi lebih separuh jumlah deposit sistem perbankan (50.7 peratus; Jun 2025: 51.4 peratus; purata 2015-19: 51.7 peratus)," katanya.
Sementara itu, selain baki mudah tunai di BNM, bank-bank terus mengekalkan pemegangan besar dalam bon dan sukuk kerajaan yang boleh dicagarkan untuk mendapatkan mudah tunai tambahan daripada pasaran antara bank atau BNM.
Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Julai 2025 juga membantu mengurangkan kos pendanaan bank, mencerminkan trend ini sebagai purata kos dana berwajaran yang menurun kepada 2.54 peratus setakat Disember 2025 (Jun 2025: 2.75 peratus).
Secara keseluruhan, bank-bank kekal berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong pengantaraan kredit, kata BNM.
Bagaimanapun, bank pusat itu berkata risiko pendanaan dan mudah tunai kekal terkawal dengan disokong oleh pengurusan mudah tunai yang berhemat dan sumber pendanaan yang pelbagai.
BNM berkata hutang luar negeri bank tempatan turut meningkat sedikit pada separuh kedua tahun 2025 kepada RM299.1 bilion daripada RM297 bilion pada Jun 2025.
Termasuk Hutang luar negeri bank-bank yang beroperasi di Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (LIBFC), jumlah keseluruhan hutang luar negeri bank-bank adalah RM451.3 bilion daripada RM448 bilion pada Jun 2025, katanya.
BNM berkata peningkatan sederhana ini didorong terutamanya oleh bank-bank tempatan yang mencerminkan peminjaman antara bank yang lebih tinggi daripada rakan niaga berkaitan.
Dedahan sedemikian secara amnya membawa risiko pelanjutan (rollover risk) yang lebih rendah berbanding dengan peminjaman daripada rakan niaga luar negeri yang tidak berkaitan.
"Peningkatan keseluruhan hutang luar negeri bank-bank sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan daripada penilaian semula pertukaran asing (foreign exchange, FX) berikutan penambahan nilai ringgit berbanding dolar AS sepanjang tempoh tersebut," katanya.
Sementara itu, BNM berkata setakat Disember 2025, dana yang diperoleh daripada rakan niaga luar negeri mencakupi hanya 7.8 peratus daripada jumlah liabiliti dan ekuiti sistem perbankan menunjukkan kebergantungan yang terhad bank-bank terhadap sumber luar untuk menyokong keperluan pendanaan mereka.
Selain itu, berikutan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) pada bulan Julai 2025, margin faedah bersih (NIM) turut menurun apabila pengurangan pendapatan faedah atas pinjaman melebihi penurunan kos pendanaan.
Selepas pelonggaran sehingga September 2025, NIM kemudiannya stabil pada 1.99 peratus pada Disember 2025.
Ini disokong oleh perbelanjaan faedah yang lebih rendah atas deposit apabila deposit tetap yang telah matang diperbaharui pada kadar faedah semasa yang lebih rendah.
Keuntungan disokong selanjutnya oleh pendapatan perdagangan dan pelaburan yang berjumlah RM7.6 bilion pada separuh kedua tahun 2025 (ST1 2025: RM8.3 bilion).
Pada masa hadapan, keuntungan bank-bank dijangka terus disokong oleh pendapatan faedah yang mampan, didorong oleh kualiti aset yang kukuh, pertumbuhan kredit yang berterusan dan prospek ekonomi dalam negeri yang positif.
Bagaimanapun, prospek ini bergantung pada ketidakpastian berhubung dengan kesan konflik di Asia Barat serta tarif perdagangan terhadap ekonomi dan kewangan Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial