EKONOMI > BERITA

MALAYSIA PELAWA PELABUR JEPUN MENINGKATKAN NILAI RANTAIAN SEMIKONDUKTOR - SIM

31/03/2026 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Malaysia menggesa pelabur Jepun supaya memperkukuh penglibatan mereka dalam ekosistem semikonduktor negara dan melangkaui aktiviti pemasangan dengan meneroka segmen bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju, penyelidikan dan pembangunan (R&D), sektor hijau serta pembangunan bakat tempatan.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin, berkata Malaysia menggalakkan pelabur Jepun mendapatkan bekalan daripada pembekal tempatan melalui penggunaan mesin dan perkhidmatan Malaysia, di samping membina perkongsian jangka panjang.

“Ini bukan sekadar mengenai kecekapan kos, tetapi tentang mewujudkan nilai bersama serta memperkukuh daya tahan rantaian bekalan.

“Laburlah dalam ekosistem tempatan kami. Bekerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia, bangunkan pembekal tempatan, dan pindahkan bukan sahaja teknologi, malah amalan pengurusan yang telah menjadikan industri Jepun bertaraf dunia,” katanya ketika berucap pada Seminar Kerjasama Perindustrian Jepun-Malaysia hari ini.

Beliau berkata dasar perindustrian Malaysia menunjukkan penjajaran kukuh dengan keutamaan strategik Jepun, termasuk 17 bidang strategik yang digariskan dalam strategi pertumbuhan Jepun, khususnya dalam sektor semikonduktor, transformasi hijau dan keselamatan ekonomi, yang membuka peluang besar untuk kerjasama.

Seiring dengan pandangan Sim, Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata Malaysia menjemput atau menggalakkan pelabur dari Jepun untuk meningkatkan tahap penglibatan dan aktiviti mereka di Malaysia,

“Kedua, Malaysia menawarkan kejelasan dan konsistensi dasar. Ketiga, kerjasama MIDA-MUFG serta rangkaian JACTIM diwujudkan bagi membuka peluang, khususnya kepada PKS Jepun. Jadi, manfaatkan rangkaian ini,” katanya.

Jepun kekal sebagai antara pelabur utama Malaysia setakat akhir 2025, dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM142.9 bilion merangkumi lebih 3,800 projek, yang telah mewujudkan hampir setengah juta peluang pekerjaan.

Daripada jumlah itu, lebih 2,800 projek telah dilaksanakan, mencerminkan komitmen berterusan syarikat Jepun terhadap Malaysia.

Tengku Zafrul turut memaklumkan bahawa konflik di Asia Barat telah menyebabkan harga tenaga meningkat mendadak, dengan kesannya kini dirasai merentas pelbagai sektor, termasuk bahan kimia dan logam yang menyokong pengeluaran semikonduktor serta rantaian bekalan yang menggerakkan ekonomi Asia.

Beliau berkata situasi ini menuntut kejelasan mutlak dalam kalangan syarikat Jepun mengenai lokasi penetapan rantaian bekalan serantau mereka, sambil menegaskan bahawa Malaysia dan Jepun sudah mempunyai hubungan, penjajaran strategik serta sejarah kerjasama yang kukuh.

“Malaysia tidak meminta syarikat Jepun untuk mempertaruhkan potensi, sebaliknya untuk bersandar pada bukti-bukti yang berasaskan lima dekad perkongsian kukuh yang telah berulang kali diuji oleh masa.

“Mereka juga boleh menjadikan hala tuju dasar Malaysia yang jelas sebagai asas kepada fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan