MAHKAMAH BENAR PERMOHONAN BON JAMINAN TERHADAP TIGA ANAK LELAKI ASHAARI MUHAMMAD

22/09/2024 06:46 PM

MELAKA, 22 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini membenarkan permohonan bon jaminan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) terhadap tiga anak lelaki pengasas gerakan Al-Arqam Ashaari Muhammad yang ditahan menerusi Op Global di negeri itu semalam.

Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin memerintahkan ketiga-tiga mereka, yang berusia 38, 42 dan 45 tahun, masing-masing membayar bon jaminan RM1,000.

Beliau membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan JAIM bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 iaitu menghina agama Islam yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Semalam, 11 individu iaitu tiga lelaki dan lapan perempuan berusia lingkungan 18 hingga 45 tahun ditahan kerana disyaki masih mengamalkan ajaran Al-Arqam yang telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.

Mereka ditahan menerusi Op Global ke atas 19 premis dipercayai berkait dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di sekitar negeri ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan