MENGAKU MERASUAH POLIS, PENJUAL ULAM DIDENDA RM2,000

23/09/2024 03:23 PM

ALOR SETAR, 23 Sept (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendenda seorang penjual ulam RM2,000, selepas mengaku bersalah merasuah seorang anggota polis di Baling, Februari lepas.

Zulkifli Yaakob, 63, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Lelaki itu didakwa memberi suapan RM350 kepada seorang anggota di Balai Polis Baling, sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang tidak berkastam atau barang larangan iaitu air putih disyaki air law (sejenis air memabukkan).

Zulkifli dituduh melakukan perbuatan tersebut pada 1.30 tengah hari 11 Feb lepas di Kampung Lalang menghala ke Balai Polis Baling, Kampung Bongor, Baling.

Lelaki yang tidak berkahwin itu didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan