TIPU PELABURAN LEBIH RM85 JUTA: BEKAS PERUNDING SYARIKAT KEWANGAN DIPERINTAH BELA DIRI

23/09/2024 07:57 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan bekas perunding sebuah syarikat kewangan bergelar Datuk membela diri atas pertuduhan memperdayakan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) berhubung skim pelaburan berjumlah RM85.53 juta.

Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Datuk Ahmad Azwan Aboo Mansor, 54.

Mahkamah menetapkan tiga hari mulai 13 Nov ini bagi prosiding bela diri.

Peguam Harjinder Singh Sandhu memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dan kira-kira enam saksi akan dipanggil.

Pada 9 Julai 2020, Ahmad Azwan didakwa menipu MyIPO dengan memperdayakan pegawai kanan syarikat itu supaya membuat pelaburan ke dalam skim BIMB i-Fund (Money Market Instrument/ Fixed Deposit) yang menjanjikan pulangan enam peratus setahun sedangkan BIMB i-Dividen Fund ialah pelaburan Unit Amanah.

Justeru, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong MyIPO untuk menyerahkan wang berjumlah RM85.53 juta untuk dilaburkan ke dalam akaun BIMB yang didaftarkan atas nama BIMB Investment Management Berhad (i-Dividen) yang mana MyIPO tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdaya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Ixora, MyIPO, Aras 19, Tower B, Menara UOA, Bangsar di sini pada 10 pagi 25 Nov 2015 mengikut  Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Ahmad Azwan turut diperintah membela diri atas empat pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM3.9 juta di Bank Islam cawangan Taman Melawati antara Januari 2016 dan Disember 2017 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali, Haresh Prakash Somiah dan Rozalina Zakaria. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan