BEKAS ISTERI, ADIK TIRI MENGAKU TIDAK BERSALAH BUNUH PEMANDU E-HAILING

24/09/2024 02:27 PM

TAWAU, 24 Sept (Bernama) -- Bekas isteri pemandu e-hailing yang ditemukan maut di sebuah ladang kelapa sawit di sini tahun lepas, Nurima Juli, 34, dan adik tirinya Sadam Kiram, 30 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan membunuh. 

Mereka yang didakwa mencapai niat bersama untuk membunuh Nurman Bakaratu, 61, membuat pengakuran itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Berdasarkan pertuduhan, Nurima serta Sadam didakwa membunuh mangsa di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Batu 5 Jalan Apas, di sini, antara 7.30 malam hingga 11.30 malam, pada 13 Jan 2023.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara sehingga 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 kali, jika tidak dikenakan hukuman mati.

Sementara itu, Duncan menetapkan 18 Okt ini bagi semakan kes serta status permohonan kebenaran pengecualian untuk mendengar kes tersebut daripada Hakim Besar Sabah Sarawak.

Ketika prosiding, Duncan memaklumkan tidak dapat mendengar kes itu bagi mengelak ketidakadilan dan penghakiman berat sebelah memandangkan sebelum ini beliau pernah menjadi hakim bagi kes bunuh berkenaan ketika Nurima tampil sebagai saksi utama pihak pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif yang mewakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fakhrurazi Ahmad Salim manakala Nurima diwakili peguam Mark Rosaidey Mohd Amin dan Sadam diwakili peguam Jhassary P Kang.

Pada 25 Jan lepas, bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Mat Zaki Md Zain antara lapan tertuduh dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini atas kematian Nurman.

Namun, kesemua mereka dilepas dan dibebaskan selepas pendakwaan tidak mahu meneruskan kes selepas mendengar keterangan Nurima yang mengaku menikam Nurman yang juga bekas suaminya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan