LELAKI RENTUNG DALAM KEBAKARAN RUMAH DI SITIAWAN DISYAKI DIBUNUH

25/09/2024 05:59 PM

IPOH, 25 Sept (Bernama) -- Lelaki rentung dalam kejadian kebakaran rumah di sebuah taman di Sitiawan, Manjung dekat sini awal pagi tadi disyaki telah dibunuh.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berkenaan kejadian kebakaran itu kira-kira 2.39 pagi.

Hasbullah berkata pihak bomba berjaya mengawal kebakaran yang berpusat dari ruang tamu rumah berkenaan dan pemeriksaan dalam rumah menemukan satu mayat lelaki dalam keadaan rentung tertiarap di ruang tamu.

Beliau berkata siasatan mendapati seorang saksi melihat suspek, iaitu seorang lelaki dikenali, telah masuk ke dalam rumah dan terdengar bunyi hentakan di ruang tamu rumah itu.

"Kemudian, suspek dilihat keluar dari rumah dan kembali semula dengan membawa dua bekas mengandungi cecair disyaki petrol dan meninggalkan rumah sebelum saksi menyedari kebakaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Seterusnya Hasbullah menyatakan bedah siasat terhadap mangsa akan dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Permaisuri Raja Bainun di sini hari ini.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, pihak polis juga berjaya menahan suspek berhampiran dengan tempat kejadian hari ini. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan permohonan tahanan reman ke atas tangkapan dibenarkan selama tujuh hari untuk siasatan lanjut pihak polis," katanya.

Justeru, beliau meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Azalan Ab. Karim di talian 019-392 7837 atau menerusi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di talian 05-688 6222.

Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Taman Muhibbah 2 dekat Sitiawan, Manjung awal pagi tadi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan