POLIS KESAN INDIVIDU RAKAM VIDEO TURUNKAN JALUR GEMILANG

25/09/2024 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan disyaki terlibat dalam merakam video menurunkan Jalur Gemilang dan digantikan dengan bendera Sabah dan Sarawak di Melbourne, Australia 16 Sept lepas. 

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata semakan polis mendapati lelaki berusia 37 tahun itu keluar dari negara pada tahun 2016 dan tiada rekod masuk semula ke Malaysia selepas itu. 

“Selain lelaki itu, turut disiasat satu pertubuhan bukan kerajaan iaitu Republic of Sabah North Borneo (RSNB). 

“Semakan melalui OSINT (Open Source Intelligence) mendapati  RSNB didaftarkan di Australia dan kita masih menunggu untuk mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kes sedang dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman dan disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan/505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998. 

Terdahulu, tular satu video berdurasi lapan minit 13 saat memaparkan tindakan sekumpulan individu menurunkan Jalur Gemilang sebelum menaikkan bendera Sabah dan Sarawak pada paras separuh tiang di depan bangunan Parlimen di Victoria, Melbourne. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan