BUNUH IBU: MAHKAMAH TINGGI TOLAK PERMOHONAN PENILAIAN PSIKIATRI KALI KEDUA

25/09/2024 06:01 PM

KLANG, 25 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan seorang lelaki yang dituduh membunuh ibu kandungnya di Pasir Penambang, Kuala Selangor dua tahun lepas untuk melakukan penilaian psikiatri kali kedua.

Hakim Norliza Othman membuat keputusan itu selepas Mohamed Azam Abdul Rasib membuat permohonan itu pada prosiding kes itu hari ini.

Peguam Ahmad Ishrakh Saad yang mewakili Mohamed Azam berkata permohonan tersebut dibuat menerusi surat difailkan kepada mahkamah pada 23 Sept, antara lain kerana pemohon tidak berpuas hati dengan hasil dapatan laporan psikiatri dan laporan perubatan forensik psikiatri.

“Saya faham permohonan ini dilakukan agak lewat, ini kerana pihak kami sukar mendapat arahan yang jelas dan rasional daripada anak guam, serta memerlukan masa untuk mengesahkan beliau membuat permohonan.

“Ini permintaan dari pemohon jadi saya serahkan kepada mahkamah,” katanya. 

Timbalan Pendakwa Raya Farah Aqilah Ahmad Fuad mencadangkan kes diteruskan seperti yang ditetapkan sebelum ini, atas dasar kekangan masa dan tarikh.

Norliza kemudiannya memutuskan untuk menolak permohonan itu atas dasar tarikh perbicaraan telah pun ditetapkan pada Oktober dan November ini, sekali gus mencadangkan peguam pemohon untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit ketika prosiding itu berlangsung nanti.

“Tidak sepatutnya ada dua laporan yang berlainan, apa yang anda (peguam) boleh buat ialah sepina doktor itu atau letak notis untuk memanggil doktor itu ke sini dan anda boleh soal balas dia.

“Kalau tidak diteruskan kes ini akan dibawa kepada tahun 2028, saya tidak membenarkan pemerhatian kali kedua, kes akan berjalan seperti yang ditetapkan,” katanya.

Tarikh perbicaraan bagi kes berkenaan ditetapkan pada 28 hingga 30 Okt serta 4 dan 8 Nov. 

Pada 24 Jan 2022, Mohamed Azam, 31, didakwa membunuh ibunya Hamidah Ismail, 56, di sebuah rumah di Pasir Penambang, Kuala Selangor antara 8.10 pagi dan 6.08 petang 15 Jan 2022 .

Lelaki itu didakwa bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan