GISBH: 34 INDIVIDU SELESAI REMAN AKAN DITANGKAP SEMULA MENGIKUT SOSMA - KPN

25/09/2024 10:13 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Seramai 34 individu yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan telah tamat menjalani tempoh reman akan ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata tempoh reman ke atas semua 34 individu itu berakhir hari ini. 

"Seramai 127 orang lagi dibebaskan dengan jaminan setelah selesai tempoh reman dan kita menasihatkan mereka untuk tampil kepada polis sekiranya memerlukan sokongan kebajikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Razarudin berkata polis juga telah memperoleh lanjutan reman terhadap 24 ahli GISBH, termasuk pengurusan tertinggi organisasi itu, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 selama empat hari bermula esok.

Selain itu, Razarudin berkata hasil siasatan mendapati kaedah perniagaan GISBH dipermudahkan melalui pegangan terhadap Aurad Muhammadiah versi organisasi tersebut, yang berlandaskan ketaksuban dan mendewakan pemimpin, sehingga memutarbelitkan ajaran Islam yang sebenar

Beliau berkata proses itu mirip seperti indoktrinisasi yang menjadi nilai kehidupan dan dipercayai serta dianuti sepenuh hati oleh pengikut-pengikut GISBH.

“Doktrin ini sangat berbahaya kepada keselamatan negara khususnya ajaran agama Islam di negara ini dan kebajikan serta masa depan pengikut (GISBH) yang bergantung sepenuhnya kepada pemimpin mereka sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata hasil kolaborasi siasatan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri mendapati GISBH tidak pernah membayar cukai yang sepatutnya, dan ini selari dengan siasatan pihak polis di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967

Selain itu, pihaknya juga mengesan hantaran di Facebook yang didakwa mengumpul dana untuk membantu anak-anak ahli GISBH yang terjejas.

“Masyarakat dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan usaha tersebut, yang dipercayai merupakan cubaan untuk mengambil kesempatan atas isu (GISBH) ini,” katanya.

Polis yang melaksanakan Op Global sejak 11 Sept telah menyelamatkan 572 kanak-kanak dan remaja yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi syarikat itu. Sementara itu, dalam Op Global Fasa Empat pada Sabtu lepas, pelbagai jenis buku, dokumen, dan gambar yang berkaitan dengan ajaran Al-Arqam serta GISBH telah dirampas.

Setakat ini, lebih 300 individu, termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan.

Selain itu, Razarudin berkata seorang ahli GISBH akan didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor, esok kerana mendera kanak-kanak di bawah jagaan sebuah rumah amal yang dikaitkan dengan syarikat itu.

“Lelaki yang terlibat dalam video tular mengenai penderaan kanak-kanak di rumah amal berkenaan akan dituduh esok,” katanya ringkas kepada Bernama.

Difahamkan, pendakwaan akan dilakukan di mahkamah tersebut pada pukul 8:45 pagi esok mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada 16 Sept lalu, polis memulakan siasatan selepas tular satu rakaman video berdurasi satu minit sembilan saat yang memaparkan kanak-kanak lelaki terbabit dilihat mengerang kesakitan dipercayai akibat dada dan lehernya ditekan oleh suspek menggunakan lutut. 

Polis juga telah mengesan kanak-kanak lelaki terbabit dalam kalangan mangsa yang diselamatkan menerusi Op Global. Siasatan mendapati kanak-kanak itu telah dipisahkan daripada bapanya sejak 2021.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan