POLIS TERIMA 10 LAPORAN DAKWA GISBH TIDAK BAYAR GAJI PEKERJA - KPN

25/09/2024 09:26 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Polis telah menerima 10 laporan daripada pekerja GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang mendakwa mereka tidak menerima sebarang bayaran gaji sepanjang bertugas di premis milik syarikat itu di seluruh negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan mendapati kejadian berlaku dari 2013 hingga tahun ini di Miri, Sarawak; Rawang, Selangor dan Alor Setar, Kedah melibatkan mangsa berusia lingkungan 14 hingga 20 tahun.

Beliau berkata GISBH juga gagal memberikan elaun kepada pekerja terbabit.

“Mangsa ini boleh ditakrifkan sebagai buruh paksa menurut Seksyen 90B Akta Kerja 1995," katanya ketika dihubungi Bernama. 

Razarudin berkata laporan itu diterima selepas pihaknya menggesa ahli GISBH yang pernah menjadi mangsa eksploitasi sebagai buruh paksa agar tampil memberi maklumat.

Pada 8 Sept lepas, Mahkamah Buruh di Johor memerintahkan GISBH membayar RM23,100 kepada seorang bekas pekerjanya yang tidak dibayar gaji sepanjang bekerja dengan syarikat itu.

Mangsa menuntut baki gaji dari Januari hingga Disember 2020 sebanyak RM114,000 dan baki gaji dari Januari hingga Disember 2021 sebanyak RM95,000 dengan jumlah keseluruhan RM209,000. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan