POLIS KL GIAT PUPUK KESEDARAN KESELAMATAN, CEGAH JENAYAH KEPADA GENERASI MUDA

30/09/2024 05:41 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Polis akan terus mempergiat usaha memupuk kesedaran berkaitan keselamatan dan pencegahan jenayah dalam kalangan generasi muda melalui program High Profile Policing (HPP).

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob berkata pihaknya turut meningkatkan kesedaran pencegahan jenayah melibatkan institusi pengajian tinggi dan sekolah bagi menangani salah laku dalam kalangan pelajar.

 “HPP adalah satu daripada inisiatif dijalankan pihak polis dengan konsep kehadiran polis bersama-sama agensi lain bagi mendekati masyarakat.

"Program ini turut melibatkan kehadiran polis secara aktif di kawasan tumpuan umum selari dengan slogan Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada," katanya berucap merasmikan Karnival MADANI Penguat Kuasa Daerah Cheras dan HPP di pusat beli-belah Sunway Velocity di sini hari ini.

Beliau berkata program itu juga merupakan platform kukuh bagi bertukar pandangan dan perkongsian maklumat antara masyarakat, polis serta agensi penguat kuasa lain. 

"Melalui interaksi langsung orang ramai dapat memberikan maklumat penting berkaitan situasi keselamatan di kawasan mereka, manakala penguat kuasa pula dapat menjelaskan langkah keselamatan dan peranan masyarakat dalam mencegah jenayah,” katanya.

Azry Akmar berkata program itu juga memberi peluang kepada polis dan agensi penguat kuasa lain memahami keperluan khusus setiap komuniti sekali gus membina kepercayaan antara semua pihak.

"Setiap kawasan mempunyai cabaran keselamatan berbeza dan melalui pendekatan ini, penyesuaian strategi pencegahan jenayah dapat dibentuk dengan lebih relevan dan efektif," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan