DUA LELAKI DITAHAN BANTU SIASATAN KES TENTERA MAUT TERKENA TEMBAKAN

25/09/2024 04:02 PM

KUCHING, 25 Sept (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes anggota tentera maut akibat terkena tembakan ketika menjalani latihan di kawasan hutan di Song, Kapit, Isnin lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata kedua-dua yang berusia 31 tahun ditahan pada hari sama dan polis merampas satu senapang patah serta beberapa peluru penabur daripada mereka.

“Siasatan mendapati mereka menjalankan aktiviti memburu secara haram. Seorang daripadanya telah melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka binatang liar dalam kejadian 2.45 pagi itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa lelaki dalam kes itu merupakan seorang anggota tentera berpangkat koperal berusia 29 tahun dari 9 Briged yang berpangkalan di Sibu.

“Mangsa cedera terkena tembakan di bahagian pinggang dan paha kiri. Dia dihantar ke Hospital Kapit namun meninggal dunia pada 7.43 pagi,” katanya.

Mancha berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan dalaman yang teruk, dengan peluru penabur terbabit terkena pada hati. 

Beliau berkata kedua-dua lelaki berkenaan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Isnin lepas, Ketua Polis Daerah Song DSP Rowney Michael Jalak dilaporkan berkata anggota tentera itu dikenal pasti sebagai Koperal Petrus Linggi Liman dan kejadian berlaku ketika mangsa sedang melaksanakan latihan melibatkan kawasan am Kanowit-Nanga Dap-Song.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan