PENIAGA MI WANTAN DIDAKWA PERDAYA RAKAN PELABURAN PRODUK MINUMAN KURUS

01/10/2024 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Seorang peniaga mi wantan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memperdayakan rakannya berhubung pelaburan produk minuman kurus berjumlah RM66,000, dua tahun lepas.

Leong Lai Peng, 44, didakwa memperdayakan pekerja kedai makan Ang Hooi Yong, 38, dengan menawarkan pelaburan yang tidak wujud sehingga mangsa menyerahkan wang berjumlah RM66,000 kepada tertuduh di sebuah restoran di Kepong Baru, Sentul di sini antara 2 Julai 2022 dan 9 Jun 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Syafika Azwa Fikri menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin namun peguam V.Annamalai yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan ia kesalahan kali pertama anak guamnya.

"Anak guam saya bekerja sebagai peniaga mi wantan di medan selera yang turut dibantu oleh suaminya. Oleh itu, saya mohon jaminan rendah kerana jaminan RM20,000 adalah terlalu tinggi," kata peguam itu.

Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Nov ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan