KEYAKINAN NAJIB RM2 BILION ADALAH DERMA DARI ARAB SAUDI MUNASABAH - PEGUAM

01/10/2024 08:11 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa keyakinan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa RM2 bilion merupakan derma dari Arab Saudi adalah munasabah kerana Ambank, yang mengendali urus niaga itu, telah memprosesnya atas pemahaman ia adalah derma yang sah.

Peguam Tania Scivetti, yang mewakili Najib, berhujah bahawa AmBank, sebagai antara institusi kewangan utama memiliki jabatan pematuhan khusus bagi memproses dana itu berdasarkan surat yang menyokong dakwaan wang ia adalah daripada kerabat Arab Saudi yang diberikan sebagai derma.

"Pembelaan berhujah situasi ini memberikan kredibiliti kepada keyakinan Najib bahawa dana itu adalah pemberian yang sah dan bukan hasil daripada aktiviti haram.

"Perlu ditegaskan bahawa RM2 bilion bukanlah jumlah kecil yang tidak disedari atau tidak dapat dikesan, ia tertakluk kepada penelitian bukan hanya di bawah jabatan pematuhan di Ambank tetapi juga di pihak jabatan pematuhan penghantar, dalam kes ini Tanore Finance Corporation," kata beliau ketika berhujah di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini selepas pendakwaan menutup kesnya.

Tanore ialah sebuah syarikat yang dikuasai Eric Tan Kim Loong, yang didakwa sebagai sekutu ahli perniagaan dalam buruan iaitu Low Taek Jho atau Jho Low.

Isu yang dibangkitkan pada prosiding hari ini merujuk kepada wang sebanyak US$620 juta (RM2.27 bilion) yang menjadi inti pati empat pertuduhan salah guna kuasa terhadap Najib. 

Scivetti juga berhujah wang RM2 bilion itu juga telah dimaklumkan kepada Bank Negara Malaysia yang akan membekukan akaun terbabit jika terdapat sebarang kecurigaan terhadap aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Bagaimanapun, tiada sebarang amaran diberikan dalam hal ini. Ini jelas menunjukkan bahawa Datuk Seri Najib mempunyai jangkaan yang sah bahawa wang yang beliau terima daripada Tanore adalah derma tulen dari Arab Saudi dan tidak dikaitkan dengan sebarang aktiviti haram.

Najib, 71, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB di Cawangan AmIslamik Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014.

Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang dan di bank yang sama antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan