POLIS NAFI DAKWAAN ENGGAN TERIMA LAPORAN REMAJA PEREMPUAN HILANG

01/10/2024 10:26 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Polis hari ini menafikan dakwaan yang tular di media sosial konon pihaknya enggan menerima laporan tentang seorang remaja perempuan yang disangkakan hilang sebelum ditemukan selamat.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata siasatan mendapati laporan berhubung kejadian itu telah diterima oleh pihak polis dalam tempoh tiga jam 11 minit selepas remaja tersebut gagal dihubungi oleh ibunya. 

“Ini membuktikan bahawa pihak polis telah menerima laporan berkenaan kurang daripada tempoh 24 jam. Sehubungan itu, polis menasihatkan agar orang ramai supaya berhati-hati dalam menyebarkan atau memuat naik sebarang bentuk kenyataan yang tidak benar atau palsu.

“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Terdahulu, seorang individu menerusi hantaran yang dimuat naik di media sosial X awal pagi ini mendakwa pihak polis enggan menerima laporan kehilangan seorang remaja perempuan kerana didapati belum hilang selama 24 jam. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan