SABARI TAK BALAS MESEJ - ABANG

01/10/2024 05:18 PM

JITRA, 1 Okt (Bernama) -- Abang kepada Sabari Baharom, 62, yang dipercayai dibunuh dengan dicampak ke dalam sungai dengan tangan terikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat, sempat menghantar pesanan WhatsApp kepada adiknya itu pada malam mangsa dilaporkan hilang.

Ismail Baharom, 69, berkata mesej mengucapkan tahniah kerana mendapat cucu baharu itu dihantar kira-kira 10 malam pada 4 Sept lepas namun tidak dijawab pesara Felcra tersebut. 

Ismail bagaimanapun ketika itu dia tidak berasa sesuatu yang mencurigakan telah berlaku. 

"Saya tak rasa apa-apalah masa itu, mungkin dia sibuk sebab itu tak balas...sampailah jumpa kereta dia terbakar, nampak macam ada kes jenayah dan kami serahkan kepada polis," katanya yang kelihatan sebak.

Ismail ditemui pemberita selepas mendengar penerangan pegawai polis di lokasi pencarian Sabari di Sungai Padang Terap di Kampung Lubuk Batu dekat sini, hari ini.

Menurutnya, mereka beranggapan bahawa ketiadaan Sabari pada awalnya mungkin disebabkan dia pergi berubat di mana-mana dan tidak mengesyaki sesuatu yang buruk telah berlaku.

Mereka sekeluarga katanya berharap jasad Sabari dapat ditemukan walaupun arus sungai deras dan paras air sangat dalam.

"Memang susah (operasi) sebab dah lama, arus laju dan dalam, tapi tak apalah kita tengoklah nanti," katanya yang kali terakhir berjumpa adiknya itu di Baling, Julai lepas.

Semalam, polis mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh dilaporkan turut mengesahkan penahanan dua suspek lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun, Jumaat lepas.

Media sebelum ini melaporkan Sabari hilang sejak 4 Sept lepas dan kereta dinaiki mangsa kemudiannya ditemukan hangus di Belantik, Sik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan