BALAI BOMBA GOHTONG JAYA BAKAL JADI BALAI PERTAMA DIBINA HASIL KERJASAMA AWAM-SWASTA

03/10/2024 02:35 PM

GENTING HIGHLANDS, 3 Okt (Bernama) -- Balai Bomba dan Penyelamat Gohtong Jaya yang akan dibina di tanah berkeluasan dua ekar di sini bakal menjadi balai bomba pertama dibina melalui kerjasama strategik awam-swasta, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Nga berkata projek pembangunan balai bomba dan kuarters yang diluluskan pada 2021 di bawah Rancangan Malaysia ke-12 itu akan dibina dengan sebahagian kos ditanggung oleh Genting Malaysia Berhad (GenM).

Beliau berkata pembinaan balai bomba berkenaan dianggarkan menelan kos RM68.3 juta dengan kerajaan memperuntukkan RM39 juta dan baki dibiayai oleh GenM sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.

"Pembinaan balai ini dilengkapi antaranya 40 unit kuarters, dewan serba guna dan surau dijangka mengambil tempoh 24 bulan dan harap Pihak Bekuasa Tempatan dapat meluluskan permit pembinaan balai ini secepat mungkin agar kerja pembinaan dapat dijalankan dengan segera," katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah balai bomba berkenaan di Gohtong Jaya di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad, Pengarah JBPM Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa serta Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GenM Tan Sri Lim Kok Thay.

Seterusnya Nga berkata setakat ini terdapat 28 Balai Bomba dan Penyelamat di Pahang dan dengan pembinaan balai baharu itu, ia mampu membantu JBPM mencapai masa tindakan bagi kes kecemasan kurang daripada 10 minit seperti yang ditetapkan jabatan berkenaan.

"Selain memberi perkhidmatan bagi kawasan Gohtong Jaya, balai ini turut akan memberi perkhidmatan meliputi Janda Baik, Bukit Tinggi di sini termasuk Batang Kali dan Selayang di Selangor," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama yang sama dengan syarikat swasta, lebih-lebih lagi syarikat senaraian awam terutamanya untuk pembinaan balai-balai bomba di kawasan perbandaran baharu.

"Dengan kerjasama strategik ini, kita akan singkatkan segala proses (permohonan pembinaan balai bomba baharu) dan ini untuk kebaikan dan manfaat semua orang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan