JIM TAHAN 121 PENDATANG TANPA IZIN DI SANDAKAN

03/10/2024 03:38 PM

SANDAKAN, 3 Okt (Bernama) -- Seramai 121 orang pendatang tanpa izin telah ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen (JIM) di sini yang bermula 10 pagi semalam hingga 4 pagi hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Jafri Embak Taha berkata pendatang tanpa izin berkenaan terdiri daripada warganegara Filipina serta Indonesia dan akan ditempatkan di depot tahanan Imigresen Sandakan untuk siasatan lanjut.

"Kesemua yang di tahan berumur antara 12 bulan hingga 65 tahun terdiri daripada 46 orang lelaki dewasa, 36 perempuan dewasa dan 32 kanak-kanak," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, seramai tiga orang warganegara Malaysia disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 55(B) turut ditahan dalam operasi itu.

Jafri Embak berkata antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri 6 (1) (c), dan 15 (1) (c) iaitu tinggal lebih masa, serta kesalahan lain di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 melibatkan warganegara Malaysia mengambil pekerja bukan warganegara atau bukan pemegang pas sah.

Beliau berkata sehingga 30 Sept lepas, JIM Sabah telah menjalankan sebanyak 1,197 operasi dengan 23,692 orang diperiksa dan 4,324 orang telah ditangkap, manakala 34 majikan didakwa.

Operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan memindahkan warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara, tambah beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan