MAHKAMAH KETEPI RAYUAN WANITA ORANG ASLI UNTUK BATAL STATUS AGAMA

03/10/2024 03:51 PM

PUTRAJAYA, 3 Okt  (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan seorang wanita orang asli yang ingin membatalkan status penukaran ke agama islamnya.

Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azhahari Kamal Ramli membuat keputusan menolak rayuan wanita berumur 31 tahun itu, manakala Datuk Wong Kian Kheong tidak bersetuju.

Penghakiman Hakim Wong tidak dibacakan di mahkamah hari ini, namun beliau berkata penjelasan mengenai keputusannya itu akan diberikan kepada pihak yang terlibat kemudian nanti.

Ketika membacakan keputusan majoriti kes berkenaan secara dalam talian, Hakim Azhahari berkata Mahkamah Syariah adalah forum lebih tepat dalam menentukan status agama wanita tersebut memandangkan kes ini berkaitan pengisytiharan penolakan agama.

Beliau berkata penukaran agama wanita itu tercatat dalam sijil penukaran agama ibunya, dicatatkan sebagai "Islam bersama Ibu” (melafaz syahadah bersama ibu).

“Plaintif (perayu) ketika itu dalam jagaan ibunya. Ibunya yang membesarkannya sendirian,” katanya.

Hakim Azhahari berkata kesimpulan mudah yang boleh dibuat adalah ibu wanita itu memutuskan untuk turut mengislamkan anaknya (perayu) apabila dia memeluk Islam pada 1995.

Mahkamah turut mengambil maklum bahawa status agama bapa kandung kepada perayu adalah Islam walaupun lelaki itu tidak mengahwini ibu perayu.

Mahkamah turut berpandangan bahawa sebagai seorang Muslim, bapa perayu pastinya terdorong memberi persetujuan kepada pengislaman itu.

Perayu yang berasal daripada suku Jakun telah membuat rayuan kepada keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Feb tahun lepas, yang menolak permohonannya untuk mengisytiharkan dirinya sebagai bukan beragama Islam.

Wanita itu mendakwa dia diIslamkan oleh ibunya ketika berusia dua tahun dan kerana itu memohon deklarasi bahawa dia berhak untuk mengamalkan cara hidup dan kepercayaan sebagai masyarakat orang Asli.

Dalam saman pemula yang difailkan terhadap Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, wanita itu mendakwa, dia tidak pernah memeluk Islam kerana tidak pernah melafaz kalimah syahadah, kerana pada 14 Nov 1995 (ketika ibunya membawa dia menukar agama) dia baru berumur dua tahun.  

Peguam A.Surendra Ananth dan New Sin Yew mewakili wanita itu manakala penasihat undang-undang negeri Datuk Saiful Edris Zainuddin mewakili kerajaan Pahang.

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang pula di wakili peguam Mohd Najid Hussain  .

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan